
Bulan lepas, heboh di media sosial berkenaan seorang lelaki yang bertindak mengasari seorang wanita di jalan berhampiran Lata Iskandar, Cameron Highland.
Kes tersebut tular dan lelaki berkenaan sudah pun menjalani hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan mangsa.
Terbaru, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Mohammad Zaim Faiz Tarmizi melalui sebuah perkongsian di TikTok berkongsi punca kejadian dan mengakui gagal menahan marah kerana wanita tersebut tidak henti-henti ‘menjawab’ selepas ditegur.
“Dari Cameron kami dah habis jalan-jalan nak balik ke Shah Alam dan masa turun tu sesak. Sampai dekat selekoh tajam saya fokuskan pada selekoh tiba-tiba ada satu kereta bertentangan menghala ke saya, brek kecemasan dan bagi hon.
Bila saya tengok belakang, ada Myvi nak potong tak lepas. Tayar saya dah jatuh dari jalan dan nasib baik saya tak tekan brek kalau tak memang masing-masing jatuh je gaung,” katanya.
Dalam video berdurasi hampir enam minit itu, lelaki berkenaan menceritakan kemarahannya membuak selepas melihat kondisi anak serta isterinya yang berada dalam keadaan kelam-kabut.
“Masa turun tu saya cuba cakap tapi dia menjawab-jawab menyebabkan saya marah dan masa nak pergi tu dia masih menjawab menyebabkan saya patah balik dan tepuk dahi dia.
Seorang suami tengok anak isteri dah lintang pukang kat belakang, apa perasaan? Saya pun tak boleh fikir masa tu,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Mohammad Zaim berkata dia tidak menolak kemungkinan akan membuat satu laporan berkenaan pemanduan wanita itu, dia turut membuat permohanan maaf kepada wanita berkenaan serta seluruh rakyat Malaysia berhubung tindakannya itu.
Selain itu, dia turut meminta agar rakyat Malaysia berhenti memberikan kecaman terhadapnya dan dia berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi kerana sudi mendengar luahan dari pihaknya.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



