Tindakan banteras salah guna pas lawatan sosial di Semporna

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 5:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Tindakan banteras salah guna pas lawatan sosial di Semporna

SEMPORNA: Isu warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan kegiatan ekonomi secara haram di Semporna telah dibawa dan dibincangkan Kabinet Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan memandang serius situasi berkenaan dan tindakan penguatkuasaan sedang digerakkan secara aktif melalui operasi bersepadu, khususnya di pulau-pulau tumpuan pelancong di daerah berkenaan.

“Perkara ini sedang diambil tindakan, ada operasi-operasi yang diadakan terutama dari segi perniagaan di pulau-pulau.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) turut membincangkan perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan khas bersiri Bernama pada Ogos lepas yang mengetengahkan isu pelabur asing menguasai rantaian ekonomi pelancongan di daerah berkenaan secara haram sehingga menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan dan ekonomi rakyat tempatan.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam laporan berkenaan turut mendedahkan modus operandi warga asing itu termasuk menguasai perkhidmatan, pusat peranginan dan fasiliti pelancongan menerusi perkongsian tidak sah atau ali baba, yang membuka ruang kepada pelbagai jenayah antaranya pusat penipuan.

Ketika memberi reaksi terhadap laporan yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah mengarahkan Esscom melakukan operasi penguatkuasaan secara bersama dengan semua pihak yang terlibat di kawasan berkenaan seperti pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Mustapha berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor baharu yang dilantik bagi projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul di sini perlu memastikan baki kerja projek berkenaan disiapkan mengikut jadual pada 4 Mei 2028.

Beliau berkata FOB Pulau Mabul bertujuan meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan melalui pendekatan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan pantai dan perairan timur Sabah.

“Objektif lawatan hari ini adalah meninjau projek berkaitan dengan keselamatan negara di sempadan. Perkara ini dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak turut diminta untuk memantau projek-projek sakit.

“Projek ini mengalami kelewatan untuk disiapkan tetapi kontraktor ‘penyelamat’ telah dilantik. Berdasarkan taklimat yang diterima perkembangan projek ketika ini pada tahap baik. Projek ini penting dan dapat meningkatkan tahap kawalan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Penyiapan baki kerja projek FOB Pulau Mabul itu dikendalikan oleh Bina Conso Sdn Bhd bermula 7 Nov 2025 dengan kos RM40.8 juta.

Projek pembinaan FOB Pulau Mabul dicadangkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) dengan siling peruntukan sebanyak RM52.81 juta. Projek itu sepatutnya disiapkan pada 2024, namun kontraktor awal menarik diri.

Projek FOB Pulau Mabul itu antaranya melibatkan pembinaan jeti, blok kediaman asrama, surau, blok pentadbiran, dewan makan, selain stor peluru.

Pada lawatan itu, Mustapha yang diiringi Komander Esscom Datuk Victor Sanjos turut menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada 128 anggota keselamatan, termasuk kakitangan Taman-Taman Sabah yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan serta keindahan pulau di Semporna.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved