Tindakan kerajaan negeri Kedah tidak baharui lesen judi ‘ceroboh kuasa persekutuan’ : mahkamah

LocalPolitics
12 Dec 2025 • 3:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR -  Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan kerajaan negeri Kedah yang mahu mengembalikan keputusannya untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian.

Keputusan majoriti itu dibuat oleh Hakim Faizah Jamaludin dan Lim Hock Leng memutuskan bahawa rayuan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah itu tidak mempunyai merit, lapor FMT.

Bagaimanapun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi berbeza pendapat. Azizah berhujah rayuan itu sepatutnya dibenarkan kerana keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri atas dasar awam.

Tiada perintah kos diberikan.

Faizah dan Lim menyifatkan tindakan kerajaan negeri menolak pembaharuan lesen bagi beberapa ejen perjudian, syarikat serta pegawai mereka adalah tidak berperlembagaan.

Lim merujuk kepada dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, dalam afidavitnya bahawa keputusan itu bertujuan untuk ‘mengharamkan’ perjudian di negeri itu.

“Bagaimanapun, hal ehwal perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan di Putrajaya, kerana lesen ejen dan pengendali dikeluarkan dan tertakluk kepada kawalan kementerian tersebut,” katanya.

Penolakan pembaharuan lesen ini, kata beliau, membawa kesan mengambil alih kuasa menteri kewangan dan mengenakan larangan menyeluruh (ke atas perjudian dan loteri).

Sementara Faizah pula berkata, tindakan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis bagi ejen, syarikat dan pegawai pertaruhan telah menceroboh kuasa persekutuan dan menjejaskan kuasa menteri kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul.

Keadaan ini, hujah beliau, mewujudkan konflik sebenar antara kuasa negeri dan persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (yang mentakrifkan kuasa persekutuan dan negeri).

Peguam Brian Foong dan Hiqmar Danial Hidzir mewakili ejen, syarikat dan pegawai pertaruhan manakala penasihat undang-undang negeri Saifulrijal Azhari mewakili kerajaan Kedah.

Pada 14 November 2022, Sanusi mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen judi selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar negeri ini.

Pada 2021, keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Bagaimanapun pada 20 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan Kedah, Menteri Besar, Majlis Bandaraya Alor Setar dan datuk bandar membayar pampasan kepada operator yang mengalami kerugian akibat keputusan itu. - 12 Disember, 2025

The post Tindakan kerajaan negeri Kedah tidak baharui lesen judi ‘ceroboh kuasa persekutuan’ : mahkamah appeared first on Scoop.