Tindakan RoS arah bubar sementara MTUC patuh prosedur perundangan

LocalPolitics
8 May 2026 • 10:13 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Tindakan RoS arah bubar sementara MTUC patuh prosedur perundangan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan pengeluaran Perintah Pembubaran Sementara terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang berkuat kuasa semalam mengikut peruntukan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 sepenuhnya.

Menafikan wujud agenda tertentu, RoS menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat secara objektif berdasarkan prosedur pengawalseliaan yang ketat.

"Setiap tindakan pengawalseliaan terhadap pertubuhan berdaftar dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa. RoS tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan mana-mana pihak dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan," jelas RoS dalam kenyataan rasminya hari ini.  

Tindakan tegas itu diambil susulan kegagalan badan induk kesatuan sekerja tersebut mematuhi arahan bertulis berkaitan audit kewangan.

RoS mendedahkan bahawa MTUC gagal mengemukakan dokumen kritikal bagi tempoh 2020 hingga 2025, termasuk penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit.

Maklumat terperinci mengenai kewangan, harta, atau faedah yang diterima daripada sumber luar negara.

"Tindakan itu diambil susulan kegagalan MTUC mematuhi arahan RoS bertarikh 6 April lalu khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit termasuk maklumat berhubung kewangan atau harta yang diterima daripada sumber luar negara bagi tempoh 2020 hingga 2025," katanya.

Walau bagaimanapun, MTUC masih mempunyai ruang untuk menyelamatkan organisasi tersebut. Di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966, mereka diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.

RoS memberi amaran bahawa kegagalan mengemukakan rayuan dalam tempoh tersebut akan membawa kepada pembubaran muktamad.

"Sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh itu atau rayuan ditolak, Perintah Pembubaran Sementara berkenaan akan berkuat kuasa secara muktamad selaras dengan peruntukan undang-undang."  

"RoS kekal komited melaksanakan tanggungjawab pengawalseliaan secara tegas, adil dan berintegriti bagi memastikan setiap pertubuhan berdaftar beroperasi secara teratur, telus serta mematuhi kehendak perundangan negara." - 8 Mei, 2026

The post Tindakan RoS arah bubar sementara MTUC patuh prosedur perundangan appeared first on Scoop.