Tindakan SUK Negeri Sembilan tidak warta proklamasi, usaha rampas kuasa – Peguam

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 1:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tindakan SUK Negeri Sembilan tidak warta proklamasi, usaha rampas kuasa – Peguam

PETALING JAYA – Tindakan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan atau Jabatan Peguam Negara meletakkan pewartaan sebagai syarat berkuat kuasa proklamasi, tanpa ada keperluan sedemikian dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) boleh disifatkan sebagai usaha untuk memindahkan dan merampas kuasa kedaulatan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 kepada mereka.

Peguam kepada Yamtuan 12, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata, pandangan mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Peguam Negara, hanyalah pendapat dan bukan perintah yang mengikat.

“Yang mengikat YB SUK ialah keputusan eksekutif Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Proklamasi Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959 telah sempurna dari aspek pentadbiran dan hendaklah dikuatkuasakan tanpa tertangguh apabila Menteri Besar menandatanganinya pada 3 Ogos 2026.

“Pewartaan proklamasi sesungguhnya bukan syarat keabsahan atau penguatkuasaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SUK sebaliknya mengeluarkan kenyataan awam menyatakan pendirian tidak mahu mewartakannya dengan maksud untuk menentang proklamasi tersebut dan tindakan ini merupakan salah laku.

“Mengingkari arahan dan keputusan MMKN yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Ini bertentangan dengan Peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

“Membuat kenyataan awam tanpa kebenaran. Jika kenyataan 17 September dibuat tanpa persetujuan bertulis Menteri Besar dan/atau MMKN, ia turut melanggar Peraturan 19(1) dan 19(2) peraturan yang sama,” katanya.

Emirul Sarifudin turut menyentuh mengenai tindakan melampaui bidang kuasa (ultra vires).

“YB SUK tidak boleh menentang keputusan YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS dan keputusan MMKN.

“Beliau juga sama sekali tidak boleh menerima arahan daripada pihak luar, termasuk YB Penasihat Undang-undang Negeri dan/atau Jabatan Peguam Negara, apatah lagi cenderung kepada pendapat peribadi yang bertentangan dengan UUTKNS dan keputusan pihak berkuasa negeri,” katanya.

Beliau berkata, selain itu menghalang Raja Pemerintah melaksanakan kuasa Perlembagaan.

“Tindakan YB SUK menentang keabsahan Proklamasi tersebut secara langsung telah menderhaka kepada Raja Pemerintah yang sah menurut UUTKNS dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan butiran salah laku tersebut, MMKN digesa meminta Ketua Setiausaha Negara memulakan prosedur tatatertib terhadap YB SUK menurut peraturan yang berkenaan, dan serta-merta memindahkan Datuk Mohd Zafir Ibrahim daripada jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Semalam, Pejabat SUK Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan itu, pejabat memberitahu, ini kerana langkah sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan. – KOSMO! ONLINE

The post Tindakan SUK Negeri Sembilan tidak warta proklamasi, usaha rampas kuasa – Peguam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved