Mohd. Zafir enggan ulas isu pewartaan proklamasi

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 3:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mohd. Zafir enggan ulas isu pewartaan proklamasi

KUALA PILAH:  Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim enggan mengulas berhubung isu pewartaan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Usaha pemberita mendapatkan penjelasan beliau berhubung pendirian Pejabat SUK yang dilaporkan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi berkenaan semalam tidak berhasil.

“Saya no komen, no komen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di sini hari ini.

Terdahulu Tuanku Muhriz diiringi kedua-dua anakanda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin turut berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid sama.

Semalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan memaklumkan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang meminta Pejabat SUK Negeri Sembilan meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan sedia ada.

Perkara itu juga diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan dalam mesyuarat pada 15 September lalu.

Image from: Mohd. Zafir enggan ulas isu pewartaan proklamasi
TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima memorandum taat setia dan menyokong daripada wakil NGO, Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 menyerahkan memorandum  kepada Tuanku Muhriz di Masjid Diraja Tuanku Munawir, di sini.

Ketua Sekretariat, Prof. Dr Mohd. Aluwi Sari dalam pada itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkaitan kedudukan institusi diraja, Undang Luak dan struktur Adat Negeri Sembilan yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata, sebarang dakwaan perlu disahkan berdasarkan bukti dan undang-undang sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Jika terdapat kandungan yang benar-benar mencabar atau menjejaskan kedudukan institusi diraja, kami meminta supaya perkara tersebut disiasat secara profesional dan segera serta diambil tindakan,” katanya.

Beliau turut menyeru Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memberikan penjelasan berdasarkan rekod rasmi berhubung perkara Adat yang sedang dipertikaikan.-UTUSAN.

The post Mohd. Zafir enggan ulas isu pewartaan proklamasi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved