Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Baru-baru ini, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun telah menjadi mangsa serangan kejam seorang lelaki warga asing di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.
Dalam kejadian malam tadi, mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak parah selepas pergelangan tangan kanannya terputus akibat dilibas dengan parang oleh suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa mangsa turut mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian kepala dan badan. Namun begitu, di sebalik detik cemas dan ngeri itu, satu perkhabaran lega dan membanggakan hadir dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Artikel berkaitan : Tragedi Cuti Sekolah, Cuping Telinga Anak P*tus Digigit Kuda Ketika Bergambar
Artikel berkaitan : “Ada rasa kerisauan, ada ancaman, temb*k. Jangan tunggu”- Ketua Polis KL
Pembedahan 8 hingga 10 jam, berjaya disambungkan
Menurut sumber, mangsa pada mulanya dikejarkan ke Hospital Selayang menggunakan ambulans sebelum dipindahkan segera ke HKL untuk menjalani pembedahan pakar.
Memetik laporan Harian Metro, pasukan doktor pakar di dewan bedah utama HKL telah menjalankan pembedahan kecemasan yang memakan masa antara 8 hingga 10 jam. Prosedur penyambungan semula tangan mangsa akhirnya selesai dengan jayanya pada jam 8.40 pagi hari ini.
Walau bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bahawa tahap pemulihan tangan mangsa masih belum dapat dipastikan sama ada boleh berfungsi sepenuhnya seperti sedia kala atau sebaliknya, dan mangsa kini masih ditempatkan di wad pembedahan HKL untuk pemantauan rapi.
Sementara itu, suspek yang menyerang mangsa pula maut ditembak polis ketika cuba ditahan di lokasi berhampiran sebuah taman permainan pada jam 8 malam tadi.
Menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook, Public Health Malaysia (PHM) memaklumkan bahawa kejayaan menyambung tangan itu memberikan harapan besar kepada mangsa dan keluarganya.

PHM turut menjelaskan bahawa prosedur menyambung semula tangan yang terputus bukanlah satu pembedahan yang biasa.
“Dalam perubatan, prosedur ini dikenali sebagai replantasi atau replantation surgery. Pakar bedah bukan sekadar menyambung tulang dan menjahit kulit. Mereka perlu membaiki salur darah yang sangat halus, saraf, tendon dan struktur lain menggunakan teknik mikrosurgeri.”
“Bekalan darah perlu dipulihkan secepat mungkin kerana tisu yang terlalu lama tidak menerima oksigen berisiko mengalami kerosakan kekal,” jelas kenyataan itu.
Walaupun anggota tangan itu berjaya disambung, pesakit diingatkan masih perlu melalui pemantauan rapi dan proses rehabilitasi yang panjang kerana kejayaan pembedahan tidak semestinya bermakna fungsi tangan akan kembali sepenuhnya.
Menutup kenyataan tersebut, PHM turut menitipkan satu peringatan menyentuh hati buat seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang tidak pernah penat berkhidmat demi keselamatan negara.
“Di sebalik semua ini, ada satu perkara yang sangat wajar kita hargai. Ketika kebanyakan kita sedang berehat bersama keluarga, ada anggota polis yang mempertaruhkan keselamatan diri untuk melindungi masyarakat.”
“Ada petugas kecemasan yang berusaha menyelamatkan nyawa. Ada pasukan doktor, jururawat serta petugas dewan bedah yang bekerja berjam-jam untuk memberikan peluang kedua kepada seorang pesakit. Inilah kekuatan sistem kesihatan awam kita.”
Sumber : Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






