Tinggal Sendirian, Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Bersama Bangkai Kucing Di Sampingnya

Entertainment
28 Dec 2023 • 7:14 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita berusia 73 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumahnya yang terletak di Kampung Kerdas, Gombak, Selangor semalam.

Perkara itu mula diketahui oleh seorang saksi, Nasaruddin Mohd Darwis, 59. Menurut saksi, wanita itu ditemukan meninggal dunia bersama kucingnya yang dipercayai sudah mati terlebih dahulu.

“Arwah dijemput Ilahi di samping kucing kesayangannya yang dipercayai terlebih dahulu mati. Memang pilu melihat keadaan kedua-duanya,” kata saksi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Kampung yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kerdas itu berkata, beliau menerima panggilan daripada jiran wanita itu pada jam 6.45 petang.

Jelasnya, wanita itu dikatakan sudah lima hari tak keluar rumah dan pada mulanya jiran itu menyangka dia ke rumah saudara kerana melihat pagar rumahnya telah dikunci dari luar.

“Tapi jiran berasa pelik bila terlalu lama sebab kebiasaannya hanya dua atau tiga hari. Selepas dapat panggilan, saya terus ke rumahnya tapi pintu berkunci lalu saya hubungi polis dan bomba sukarela meminta bantuan.

“Pasukan bomba tiba di lokasi dan berjaya membuka pintu rumah kira-kira jam 8 malam. Apabila kami masuk ke dalam rumah, kami temui wanita itu terbaring di ruang tamu.

“Pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia. Di samping mayatnya kami temui bangkai kucing peliharaan wanita itu yang sudah mereput,” katanya kepada Harian Metro.

Jelas Nasaruddin lagi, wanita tersebut duduk bersendirian, dia tidak berkahwin dan hanya tinggal di rumah pusaka keluarga sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya lagi, wanita itu memang sudah lama uzur dan berjalan menggunakan tongkat, kali terakhir dia berjumpa dengan wanita tersebut kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya rapat dengan arwah dulu tapi sejak dia uzur dan jarang keluar rumah, memang kami tidak berjumpa.

“Selalu jiran yang menyewa berdekatan rumahnya itulah membantu membelikan barangan keperluan apabila diminta,” katanya.

Katanya, pihaknya telah membantu menguruskan jenazah arwah dan arwah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat, Gombak.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.