RANTAU PANJANG - Dua tekong bertindak meninggalkan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra di sini bagi melarikan diri selepas dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi semasa sepasukan anggota daripada Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA bersama Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan Pahang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menjalankan rondaan Op Taring Delta di kawasan Rantau Panjang.
Menurut beliau, setibanya di hadapan Masjid Sultan Ismail Petra, pihaknya terlihat dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan telah mengekori kedua-dua kenderaan tersebut dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.
"Bagaimanapun kedua-dua pemandu bertindak memasuki kawasan parkir masjid sebelum memberhentikan kenderaan dan melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ujar beliau, anggota polis telah mengejar kedua-dua suspek namun gagal dikesan.
Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan di dalam kedua-dua kenderaan menemukan beberapa individu dipercayai warga asing tanpa izin berada di bahagian penumpang.
"Seramai 11 PATI berada di dalam Toyota Innova manakala sembilan lagi berada di dalam Nissan Serena.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tujuh individu mengemukakan pasport namun tiada cop kemasukan sah ke Malaysia manakala 13 lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga Myanmar berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Ujarnya, hasil soal siasat mendapati kesemua PATI memasuki Malaysia menaiki bot menyeberangi Sungai Golok.
Ahmad Radzi memberitahu, mereka dipercayai masuk melalui pengkalan haram Yasin di sini.
Beliau berkata, bayaran dikenakan kepada PATI terbabit berbeza mengikut destinasi iaitu antara RM3,000 hingga RM6,000 namun mereka masih belum membuat pembayaran.
Kata beliau, pihaknya turut merampas tujuh pasport, 22 telefon bimbit pelbagai jenama serta dua kenderaan iaitu Nissan Serena dan Toyota Innova dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM88,200.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.



