
KUALA LUMPUR - Pemimpin akar umbi Pemuda Umno lantang menolak gesaan ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh, agar parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan untuk kembali bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli, Wan Mahussin Wan Zain menegaskan langkah tersebut bukan sahaja gagal menguatkan Umno dan menyelamatkan Melayu, malah akan terus melemahkan pengaruh parti keramat itu.
Beliau mempersoalkan jaminan yang boleh diberi PAS sekiranya Umno kembali bergabung, sambil mengingatkan risiko mengulangi kesilapan lalu.
“Siapa tak suka penyatuan bangsa, siapa tak suka tengok orang Islam duduk bersama. Tapi persoalannya, selama ini Umno bertanding lawan PAS. Umno tidak pernah lawan DAP.
"Sama juga dengan PAS, kolam kita sama. Undi PAS ada dalam Umno, undi Umno ada dalam PAS. Tapi kita letakkan kesalahan pada DAP, bagi saya ini tidak adil,” katanya dalam muat naik video di Facebook.
Semalam, Akmal secara terbuka menyeru kepimpinan tertinggi Umno menerima PAS sebagai sekutu baharu dan tidak gentar untuk kembali menjadi pembangkang. Seruan itu menyusuli gesaan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mahu menghidupkan semula MN menjelang PRU akan datang.
Minggu lalu, Sanusi menekankan hubungan PAS–Umno penting bagi kestabilan politik, terutama di peringkat akar umbi. Idea itu turut disuarakan berulang kali oleh pemimpin PAS lain.
Namun, Wan Mahussin menegaskan pengalaman lalu membuktikan kerjasama dengan PAS hanya merugikan Umno.
“Umno pernah berada dalam MN 1.0 ketika semua parti belum memegang jawatan. Tapi bila PAS dapat kuasa, dia pilih Bersatu. Akhirnya siapa yang rugi? Umno,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa meninggalkan kerajaan perpaduan demi MN akan menjadikan Umno sebuah parti pembangkang kecil tanpa peranan strategik.
“Dakwaan keluar kerajaan mampu menjatuhkan DAP tidak berasas. Sebaliknya ia hanya mengosongkan ruang kuasa Melayu dan melemahkan Umno,” katanya. - 4 Januari, 2026
The post Tinggalkan kerajaan perpaduan hanya jadikan Umno ‘parti pembangkang kecil’ appeared first on Scoop.
