SHAH ALAM – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mencadangkan penambahbaikan prosedur dan garis panduan penguatkuasaan, pemantauan lebih ketat ke atas premis kitar semula dan kemasukan kontena serta tindakan disiplin sewajarnya terhadap pegawai terlibat kelemahan penguatkuasaan isu sisa elektronik (e-waste).
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, isu e-waste haram mesti ditangani secara tegas dan bersepadu oleh semua agensi penguatkuasaan berkaitan.
**media[3463747]**
Menurutnya, selain itu, kajian dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan integriti, pematuhan undang-undang dan keberkesanan penguatkuasaan dipertingkatkan, sejajar dengan dasar kerajaan untuk melarang Malaysia menjadi tempat pembuangan e-waste.
”Dalam tempoh tiga tahun bermula 2023, terdapat tujuh aduan berkaitan e-waste diterima EAIC melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Susulan itu, empat fail siasatan dibuka. Daripada empat kes tersebut, satu kes disiasat oleh Pasukan Petugas Kontena yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena mengandungi e-waste di Pelabuhan Klang dan satu lagi kes berkaitan aduan dakwaan kelemahan tindakan penguatkuasaan kawalan premis kitar semula oleh JAS di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor,” katanya kepada Sinar Ahad.
**media[3463748]**
Beliau berkata, dua kes ini telah selesai siasatan dan syor EAIC dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dan ketua jabatan agensi yang terlibat.
Tambahnya, dua lagi kes akan dibawa ke Mesyuarat Suruhanjaya EAIC untuk diputuskan.
Katanya, bagi kes Pasukan Petugas Kontena yang menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena mengandungi e-waste di Pelabuhan Klang, seramai 14 orang dirakam percakapan manakala bagi aduan melibatkan tindakan penguatkuasaan diambil JAS ke atas semua premis dan syarikat di Segamat, seramai sembilan orang saksi telah diambil keterangan.
“Bagi kes Pasukan Petugas Kontena yang menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena mengandungi e-waste di Pelabuhan Klang, EAIC mencadangkan syor supaya pegawai terlibat diturunkan pangkat dan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS serta Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam untuk tindakan lanjut.
“Bagi kes berkaitan dakwaan kelemahan tindakan penguatkuasaan terhadap premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Segamat oleh JAS Johor, salah laku tidak dapat disahkan tetapi EAIC mencadangkan syor penambahbaikan untuk mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan terhadap premis kitar semula.
“Syor yang dikemukakan adalah meningkatkan kadar hukuman bagi kesalahan berulang, memperjelaskan dan menyeragamkan garis panduan penguatkuasaan di semua peringkat dan melaksanakan dengan serta-merta garis panduan kompaun yang telah dipinda,” ujarnya.
**media[3463757]**
Ismail berkata, skop siasatan bertumpu kepada isu-isu berkaitan pematuhan prosedur, tadbir urus serta aspek integriti dalam pelaksanaan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan.
“Siasatan EAIC merangkumi modus operandi berkaitan penyeludupan e-waste termasuk kaedah kemasukan dan rantaian pergerakan e-waste iaitu kaedah kemasukan dan rantaian pergerakan e-waste sehingga ke lokasi pemprosesan,” jelasnya.
Jelas beliau, EAIC akan melaksanakan kajian terhadap punca penyeludupan e-waste melalui Jawatankuasa Kajian Penguatkuasaan E-Waste Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi Proses Pemeriksaan dan Kelulusan Kemasukan Kontena di Pelabuhan-Pelabuhan Utama di Malaysia.
“Melalui kajian ini, EAIC berharap punca utama penyeludupan atau kemasukan e-waste akan dapat dikenal pasti.
“EAIC juga akan mengeluarkan hasil dapatan kajian, syor dan cadangan penambahbaikan undang-undang serta prosedur kerja bagi memastikan isu e waste ditangani secara menyeluruh dan bersepadu,” tambahnya.
Kata beliau, tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan memproses e-waste haram perlu diteruskan bagi menjaga kepentingan awam dan mengelak kerugian kepada negara.
INFO
Laporan media:
3 Februari 2026
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama agensi berkaitan memperhebatkan operasi terhadap kegiatan pengimportan e-waste secara haram di negara ini.
16 Januari 2026
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai kesan sebenar terhadap negara berkaitan kemasukan sisa plastik dan e-waste sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.
6 Mac 2025
KUALA LANGAT - Polis tidak menolak kemungkinan premis e-waste haram yang diserbu seluruh negara pada menerusi Op Hazard membabitkan sindiket jenayah terancang.
20 Februari 2025
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas e-waste dianggarkan bernilai RM2.86 bilion seberat 22.9 juta kilogram melalui Op Hazard di seluruh negara.


