Tingkatkan Kapasiti Pengeluaran Tempatan, Hyundai Mahu Labur RM2.14 Bilion Di Malaysia

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2024 • 12:42 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hyundai Motor Co mengumumkan rancangan mahu labur hampir US$480 juta(RM2.14 bilion) di Malaysia dalam tempoh lima tahun bermula 2025 bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di negara ini.

Memetik laporan Bernama, pengeluar kereta dari Korea Selatan itu memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, Inokom Corporation Sdn Bhd.

Hyundai mahu labur RM2.14 bilion di Malaysia

image is not available

Kerjasama ini untuk menaik taraf kilang pemasangan complete knockdown (CKD) unit yang kini menghasilkan model kenderaan utiliti lasak (SUV) Santa Fe generasi lama.

Kilang CKD yang dinaik taraf itu dijadualkan memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan minivan Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025 dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.

Dalam pada itu, Hyundai juga memaklumkan bahawa skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun dan rancangan pengembangan secara berperingkat dan kenderaan yang dihasilkan di kemudahan terbabit dijangka dipasarkan di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain.

Selain itu, Hyundai menegaskan komitmennya untuk menyokong pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, termasuk memperluas jualan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan dan menubuhkan kemudahan pengeluaran bateri.

“Kami membuat keputusan pelaburan ini berdasarkan kepentingan yang semakin meningkatkan bagi Asia Tenggara dan pasaran Malaysia.

“Kami juga berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di rantau ini melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan bakat tempatan,” kata Hyundai.

Sumber: Bernama