
Tip: Bila Korang Patut “Stay” Atau Keluar Dari Kereta Waktu Kecemasan
Keputusan dibuat bila berlaku kecemasan boleh menjadi penentu antara hidup dan mati kepada pengguna jalan raya.
Dalam situasi ini, tindakan pantas diperlukan walaupun dalam keadaan serba tidak pasti.
Meski naluri mungkin memaksa anda untuk segera keluar dari kenderaan, kadangkala tindakan lebih wajar adalah untuk kekal di dalam kereta.
Oleh itu, tip berikut dapat bantu anda buat keputusan sama ada perlu “stay” atau segera keluar dari kereta dalam situasi kecemasan.
Bila perlu “stay” dalam kereta?
Ada beberapa situasi yang boleh bantu anda tentukan sama ada perlu kekal dalam kereta selepas kemalangan.
Tahap Kecederaan:
Jika tiada kecederaan serius dan kereta anda tidak berada dalam keadaan bahaya, anda tidak perlu keluar dari kereta dengan segera.
Kawasan Lalu Lintas Sibuk:
Jika kemalangan berlaku di persimpangan yang sibuk atau di lebuh raya, anda lebih selamat kekal berada di dalam kereta. Ini penting untuk mengelakkan risiko dilanggar kenderaan lain.
Persekitaran Berbahaya:
Sekiranya terdapat persekitaran yang berbahaya seperti wayar elektrik terputus atau risiko lain, anda perlu menunggu bantuan kecemasan di dalam kereta.
Pemeliharaan Bukti:
Jika tiada keperluan mendesak untuk melarikan diri, anda digalakkan untuk tidak mengubah kedudukan kereta.
Tindakan ini boleh bantu proses pengumpulan bukti dan menyokong siasatan atau tindakan undang-undang sama ada dalam kes jenayah mahupun sivil.
Bila perlu keluar dari kereta?
Dalam situasi tertentu, anda perlu segera keluar dari kereta untuk lindungi diri dan penumpang lain.
Kecemasan Perubatan:
Sekiranya anda atau penumpang lain mengalami kecederaan serius yang memerlukan rawatan segera, anda perlu keluar dengan serta merta.
Kebakaran Kenderaan:
Jika kereta terbakar akibat kemalangan, jangan tunggu dan segera keluar.
Kenderaan Tenggelam:
Jika kereta terjunam ke dalam kawasan air yang dalam, keluar secepat mungkin kerana kelewatan boleh membawa risiko lemas.
S-U-R-E: Langkah Wajib Untuk Selamat
Sekiranya terperangkap dalam kereta, ingatlah langkah S-U-R-E sebagai panduan untuk keluar dengan selamat:
S – Stay calm (Tenang):
Kekal tenang dan bertindak berhati-hati supaya semua penumpang dapat keluar dengan selamat.
U – Unbuckle seat belts (Buka tali pinggang keledar):
Pastikan tali pinggang keledar dibuka dan semua bersedia keluar. Jika tali pinggang sukar dibuka, guna alat pemotong tali pinggang keledar.
R – Roll down or break window (Turunkan atau pecahkan cermin):
Turunkan cermin tingkap apabila kereta masuk dalam air. Kalau tidak boleh, guna alat khas untuk pecahkan cermin sisi.
E – Exit quickly and call 999 (Keluar dengan cepat dan hubungi 999):
Segera keluar dari kereta, bawa semua ke tempat selamat dan hubungi talian kecemasan.
Peringatan
Ingat, kereta anda mungkin menggunakan jenis cermin yang berbeza. Contohnya, cermin “tempered” di bahagian sisi belakang dan cermin “laminated” di bahagian sisi hadapan.
Jika kereta anda ada sekurang-kurangnya satu tingkap tempered, itu adalah pilihan terbaik untuk keluar dalam kecemasan.
Sekiranya anda terperangkap dalam kereta dengan semua tingkap menggunakan laminated glass, lebih baik buka pintu terlebih dahulu untuk keluar.
Dalam kecemasan, mengetahui jenis cermin dan mempunyai alat kecemasan yang betul boleh menyelamatkan nyawa anda.
Persiapkan diri dengan ilmu dan peralatan yang diperlukan agar anda dapat keluar dengan cepat dan selamat kerana setiap saat sangat berharga.
BACA: Wajib Ambil Tahu Sebagai Ikhtiar, Ini Cara Nak Selamatkan Diri Jika Kereta Tenggelam Dalam Air
Sumber: AAA Connect
The post Tip: Bila Korang Patut “Stay” Atau Keluar Dari Kereta Waktu Kecemasan appeared first on Siakap Keli.



