
Memandangkan banyak syarikat atau organisasi yang sudah mula menerima konsep bekerja secara jarak jauh atau dari rumah, jadi mereka juga terbuka untuk mengadakan temuduga secara maya.
Selalunya temuduga secara maya ini diadakan sebagai langkah pertama untuk mengenali calon yang berpotensi untuk mara ke peringkat temuduga yang seterusnya. Jadi, walaupun tidak perlu berjumpa secara fizikal, anda perlulah bersiap sedia.
Ingat! pandangan pertama itu penting. Bagi kaum lelaki, mungkin tidak menjadi masalah menghidupkan kamera dengan wajah yang polos, tapi untuk kaum wanita, it’s a big no! no! Jangan sesekali pamerkan wajah yang ‘tidak siap’ kepada si penemuduga.
Jadi bagaimana cara untuk bersedia di hadapan kamera? Selain perlu berpakaian kemas dan tidak mencolok mata, wajah juga perlu dioles tipis untuk penampilan lebih menyakinkan. Tak perlu bersolek tebal, cukuplah dengan penampilan sederhana tetapi menawan.
Ikuti tip solekan berikut. Ia mudah sahaja, hanya 15 minit sudah siap!
1) Guna alas solekan yang melembapkan
Rahsia untuk kulit kelihatan sihat menawan ialah dengan memakai alas solekan yang boleh mengelakkan kulit daripada terhidrasi (kering). Jadi walaupun anda ingin cepat, pastikan anda lembapkan wajah sebelum mengenakan sebarang solekan.
Boleh pakai krim pelembab, krim pelindung UV dan juga face mist yang terbukti boleh melembapkan kulit wajah. Bahkan, ia juga membuatkan solekan mudah diaplikasikan serta nampak berseri-seri (glowing).

2) Guna bedak yang praktikal
Anda boleh pakai sebarang jenis bedak yang digemari, namun adalah lebih baik guna bedak tabur untuk menjimatkan masa.
Ini kerana bedak jenis ini lebih mudah dioles serta tahan lebih lama. Sifatnya yang ringan membuatkan penampilan nampak lebih natural. Jangan tak tahu, bedak jenis ini juga mesra pada kulit berminyak dan berjerawat.
3) Ringkaskan solekan mata
Solekan mata selalunya mengambil masa yang panjang, jadi untuk tampil sederhana, cubalah ringkaskan solekan mata dengan hanya merapikan alis mata dengan sikat kecil atau bentuk garisan tipis.
Sapukan pembayang mata dengan warna-warna natural dan oleskan maskara yang cepat kering supaya anda tidak perlu menunggu lama.

4) Gunakan pewarna 3 dalam 1
Salah satu ‘make up hack’ yang sangat berguna dan menjimatkan ialah, anda boleh menggunakan gincu bibir sebagai pembayang mata, pemerah pipi dan juga pewarna bibir. Oleskan sedikit di permukaan tangan, kemudian sapukan ke pipi dan kelopak mata. Siap!
5) Gunakan setting spray
Akhiri solekan anda dengan setting spray. Memang benar kegunaan setting spray ini adalah untuk memastikan solekan tahan lebih lama.
Tapi, ia juga boleh menyerlahkan solekan agar kelihatan segar dan menawan. Jadi ia sangat berguna untuk online meeting. Barulah semangat untuk menyiapkan tugasan sepanjang hari itu.
Silap-silap, rakan-rakan sekerja yang lain juga dapat aura yang sama! Selamat mencuba! – Getaran, 13 Julai 2024
Foto : Unsplash




