Tipu pelaburan sasar rakyat Jerman, lima lelaki warga China ditahan

3 Nov 2026 • 1:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tipu pelaburan sasar rakyat Jerman, lima lelaki warga China ditahan

IPOH: Kegiatan sindiket pusat panggilan penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di Jerman terbongkar selepas lima lelaki warga China ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Anjung Bercham Utama, di sini Jumaat lalu.

Serbuan tersebut dijalankan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu, lima suspek berusia 26 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud sejak September lalu.

“Berdasarkan skrip perbualan yang ditemukan dalam komputer dirampas, sindiket tersebut dipercayai menggunakan aplikasi WhatsApp dan capaian internet tempatan untuk memperdaya mangsa.

“Mereka menyamar menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik untuk menghubungi mangsa secara rawak sebelum memujuk mereka menyertai pelaburan syarikat yang kononnya bertapak di Jerman.

“Mangsa dijanjikan keuntungan tinggi sebelum diminta membuat pembayaran secara berulang kali,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas lima unit komputer, 10 unit telefon bimbit dan empat router yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,000.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 31 Oktober hingga 3 November bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Alwi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang hanya dikenali menerusi perbualan dalam talian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penipuan seumpama itu diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

The post Tipu pelaburan sasar rakyat Jerman, lima lelaki warga China ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved