Tipu status halal: Syarikat Ayam Segar BM, empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam

24 Nov 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tipu status halal: Syarikat Ayam Segar BM, empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam Image from: Tipu status halal: Syarikat Ayam Segar BM, empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam liza24/11/2026 - 12:40 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Sebuah syarikat pemprosesan ayam, dua pengarahnya, seorang pengurus dan seorang pekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan mengelirukan pengguna dengan menggambarkan ayam yang dibekalkan telah diproses dan disembelih mengikut keperluan halal serta sesuai dimakan oleh umat Islam.

 

Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Zafirah Abdul Karim, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.

 

Syarikat berkenaan didakwa membekalkan sebanyak 6,555 kilogram ayam yang telah diproses dan disembelih dengan membuat representasi yang boleh mengelirukan pengguna sehingga mempercayai produk berkenaan halal dan sesuai untuk dimakan oleh umat Islam, lapor NST.

 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(a) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta jika sabit kesalahan.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12.45 tengah malam, 30 Oktober lalu di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

 

Pengarah dan pengurus turut berdepan pertuduhan

Dalam pertuduhan berasingan, Zafirah turut didakwa atas kapasiti sebagai pengarah syarikat bersama seorang lagi pengarahnya, warga Bangladesh, Tanjena Akter Mollah, 36, serta pengurus syarikat, Hossain Saddam, 44.

 

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1) perintah sama yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(b), memperuntukkan denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Sementara itu, pekerja syarikat, Abdul Rahim Ariff Ali, 34, turut didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan mengikut subseksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

 

Kesemua pertuduhan terhadap individu berkenaan didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

 

Serbuan Op Taring Chiller rampas 6.5 tan ayam

Sebelum ini, premis berkenaan menjadi tumpuan selepas diserbu menerusi Op Taring Chiller pada 30 Oktober lalu dalam operasi yang dijalankan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

 

Serbuan kira-kira 12.40 tengah malam itu membawa kepada rampasan 6,555kg ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400 serta penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

 

Pemeriksaan awal pihak berkuasa mendapati premis itu dipercayai digunakan untuk aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.

 

Kaedah pemprosesan menggunakan rendaman air berarus elektrik atau waterbath stunning turut menimbulkan keraguan apabila ayam dipercayai mati sebelum melalui proses penyembelihan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan hukum syarak dan keperluan pensijilan halal.

 

Siasatan awal turut mendapati bekalan ayam berkenaan diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sepang sebelum produk yang diproses dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved