liza18/11/2026 - 17:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov – BCB Berhad menerusi dua anak syarikat milik penuhnya membeli empat lot tanah pegangan bebas yang kini beroperasi sebagai padang golf di Batu Pahat, Johor pada harga keseluruhan RM110.91 juta.
Pembelian itu membabitkan tiga lot tanah bernilai RM74.74 juta oleh Amber Vista Property Development Sdn Bhd dan satu lot tanah bernilai RM36.17 juta oleh Banang Central Development Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BCB berkata pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan bank tanah kumpulan bagi menyokong perancangan pembangunan hartanah pada masa depan.
Pengambilalihan dijangka selesai 1H2027
Penggunaan dua anak syarikat berasingan bertujuan memudahkan perancangan pembangunan, urusan kelulusan pihak berkuasa, pengurusan projek serta pentadbiran kewangan.
Bagaimanapun, kedua-dua pengambilalihan itu saling bergantung dan perlu diselesaikan secara serentak sebagai satu urusan pembelian keseluruhan.
BCB menjangkakan pengambilalihan berkenaan selesai pada separuh pertama 2027, sebelum meneruskan persediaan pembangunan termasuk mendapatkan kelulusan perubahan zon guna tanah, Kebenaran Merancang serta urusan hak milik tanah.
Kumpulan turut merancang mendapatkan lesen pemaju perumahan dan permit iklan serta jualan, namun jenis pembangunan dan tarikh permulaannya masih belum dimuktamadkan.
Gearing dijangka meningkat kepada 37%
Sementara itu, nisbah gearing bersih BCB dijangka meningkat kepada 37% daripada 29% sekiranya keseluruhan harga pembelian RM110.91 juta dibiayai menerusi pinjaman bank.
Berdasarkan kedudukan kewangan teraudit pada 30 Jun 2026, hutang bersih kumpulan diunjurkan meningkat kepada RM360.54 juta berbanding RM249.63 juta sebelum pengambilalihan.
BCB menjelaskan pengiraan itu hanya simulasi yang tidak mengambil kira kos transaksi, kos pembiayaan dan pelarasan lain. Gearing sebenar bergantung kepada struktur pembiayaan akhir serta kedudukan kewangan kumpulan ketika penyelesaian.
Dari segi pembayaran, deposit awal RM2 juta telah dibayar pada 7 Oktober 2026, manakala baki deposit RM9.09 juta dijelaskan pada 6 November 2026.
Kumpulan turut memaklumkan harga pembelian boleh diselaraskan sekiranya keluasan sebenar tanah lebih kecil daripada keluasan dalam hak milik, pada kadar RM16 sekaki persegi bagi setiap kekurangan keluasan. - DagangNews.com






