
KUALA LUMPUR: Spekulasi terlerai, pelakon, Fasha Sandha mengakui pergaduhan dengan adiknya, Elisya Sandha di media sosial baru-baru ini hanyalah sekadar gimik untuk mempromosikan sebuah jenama makanan.
Menurut Fasha, dia tidak menyangka hantaran yang menggambarkan perselisihan faham antara mereka dipercayai sesetengah pihak, memandangkan hubungan mereka selama ini cukup akrab.
“Memang ada yang percaya kami bergaduh. Beberapa orang kawan saya sendiri telefon dan bertanya sama ada perkara itu benar-benar berlaku. Mereka kata saya tidak pernah membuat hantaran beremosi seperti itu sebelum ini. Jadi, mereka tertanya-tanya mungkin ketika itu saya sedang bersedih atau mempunyai masalah.
“Tetapi, saya bukanlah seorang yang gemar berkongsi perkara sedemikian di media sosial,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta baru Gardenia NuMee iaitu adiknya, Elisya Sandha, pagi tadi.
Bagaimanapun, pelakon berusia 42 tahun itu menjelaskan, hubungan mereka tidak pernah terjejas seperti yang digambarkan menerusi hantaran berkenaan, sebaliknya hanya sesekali berlaku perselisihan faham kecil.
“Saya jelaskan kepada mereka, kami sebenarnya hanya merajuk manja. Cara pemikiran kami berbeza, tetapi akhirnya akan bertemu di titik tengah.
“Kami saling menerima kelebihan, kekurangan dan pendapat masing-masing. Ikatan kami memang sangat kuat, malah kami tidak boleh hidup tanpa satu sama lain,” ujarnya.
Sedangkan lidah lagi tergigit, Fasha bagaimanapun mengakui sebagai adik-beradik, dia dan Elisya juga tidak terlepas daripada perselisihan faham yang boleh membuatkan salah satu pihak berkecil hati.
“Tipulah kalau adik-beradik tidak pernah berselisih faham. Tetapi kami bukan bergaduh besar. Lebih kepada merajuk manja, selalunya berkaitan soal masa.
“Sebagai kakak, ada masanya saya terasa hati. Kadangkala saya merasakan Elisya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarganya sendiri. Perkara itu lebih kerap berlaku ketika dia baru berkahwin.
“Namun, saya perlu menerima hakikat bahawa Elisya bukan lagi bayi yang saya jaga dahulu. Tetapi merajuk itu tidak lama, tak sampai tiga hari pun,” katanya.
Sebelum ini, perkongsian Elisya di media sosial menuai perhatian netizen selepas dirinya meluahkan rasa kurang puas hati dengan kakaknya, Fasha.
The post Tipulah kalau adik-beradik tidak pernah berselisih faham – Fasha Sandha appeared first on Utusan Malaysia.





