
HUBUNGAN adik-beradik yang rapat sekalipun tidak terlepas daripada salah faham, kecil hati mahupun merajuk sesama sendiri.
Ada kalanya perkara kecil boleh mengundang rasa terkilan, namun kasih sayang yang terjalin sejak sekian lama membuatkan perselisihan itu tidak berpanjangan.
Begitulah juga hubungan pelakon, Fasha Sandha dan adiknya, Elisya Sandha yang disifatkan cukup akrab. Di sebalik gelak tawa dan kemesraan mereka, Fasha mengakui ada waktunya dia turut terasa hati dengan sikap adik kesayangannya itu.
Namun, pelakon berusia 42 tahun itu menjelaskan, situasi berkenaan lebih kepada merajuk manja dan bukannya pergaduhan serius seperti yang mungkin dibayangkan sesetengah pihak.

“Kadang-kadang saya sebagai kakak pun ada terasa hati. Contohnya, Elisya janji nak datang berjumpa, tetapi tiba-tiba pergi tempat lain atau lebihkan masa bersama keluarga.
“Tetapi kita kena terima hakikat bahawa dia bukan baby kita lagi. Dia sudah menjadi isteri dan ada keluarga sendiri,” katanya kepada SinarPlus.
Isteri kepada pelakon, Aidil Aziz tersebut berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada majlis pengenalan duta jenama Gardenia NuMee di Saloma, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai isu konflik keluarga yang mengundang perhatian ramai baru-baru ini, Fasha menyifatkan hubungan mereka tidak pernah terjejas hanya disebabkan perkara remeh.

Keprihatinan orang ramai
Malah, tempoh merajuk antara mereka juga tidak lama, sebaliknya masing-masing akan kembali berbaik dalam masa singkat.
“Merajuk itu tidak lama, tak sampai tiga hari pun. Kami cuma diam sekejap, kemudian akan berbaik semula.
“Kami juga ada peraturan keluarga sendiri. Siapa yang lebih muda, dia kena mengalah dan minta maaf dahulu.
"Apabila adik sudah minta maaf, kita sebagai kakak kena maafkan. Itu cara kami dan tak mahu besarkan perkara kecil,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan orang ramai yang mengambil berat mengenai hubungannya dengan Elisya.
Tidak berkecil hati
Walaupun menerima pelbagai reaksi, termasuk dakwaan bahawa kemesraan mereka sekadar sebahagian daripada promosi produk, Fasha tidak berkecil hati dengan pandangan tersebut.
Sebaliknya, dia terharu apabila ramai yang menghubunginya secara peribadi untuk bertanya keadaan sebenar selain menitipkan nasihat agar hubungan adik-beradik sentiasa dijaga.
“Terima kasih kerana prihatin dan menerima dengan baik. Ramai yang menghantar mesej peribadi dan menasihati kami supaya jangan bergaduh adik-beradik.

“Ada yang percaya, ada juga yang mengatakan ia sebahagian daripada promosi produk. Malah, beberapa rakan turut bertanya sama ada berita itu benar atau tidak.
“Netizen semuanya baik dan positif. Terima kasih atas doa yang baik-baik buat kami,” ungkapnya lagi sambal tersenyum manis.
Dalam perkembangan lain, Fasha meneruskan kerjasama sebagai duta Gardenia NuMee untuk tahun keempat, manakala Elisya turut diperkenalkan sebagai rakan jenama baharu produk berkenaan.

Penglibatan kedua-dua beradik itu sekali gus memperlihatkan sisi hubungan kekeluargaan yang menjadi antara pendekatan jenama berkenaan untuk mendekati keluarga serta generasi muda di Malaysia.






