Tiru tulisan orang lain adalah sukar: Pakar

25 Jun 2026 • 4:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Tiru tulisan orang lain adalah sukar: Pakar

Kota Kinabalu: Seorang pakar tulisan tangan memberitahu dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bahawa meniru tulisan tangan individu lain adalah sukar kerana faktor seperti tekanan pen, kelajuan menulis dan tahap kemahiran berbeza antara setiap orang.

Pakar dokumen forensik dan tulisan tangan Dr Linthini Gannetion berkata walaupun tidak boleh dianggap mustahil namun perbuatan itu tetap sukar kerana tulisan tangan melibatkan pelbagai ciri individu yang tersendiri.

“Saya tidak akan kata ia mustahil tetapi saya akan kata ia sukar kerana kelajuan menulis, tekanan pen dan tahap kemahiran adalah berbeza.

“Ini kerana ia adalah tindakan sedar, bukan tindakan separa sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Joan Goh yang bertanya sama ada meniru tulisan tangan orang lain adalah sukar atau mustahil.

Saksi ke-74 inkues itu turut bersetuju bahawa meniru tulisan tangan dalam jumlah besar atau pada banyak muka surat adalah lebih mencabar.

Menurutnya lagi tiada dua individu yang menghasilkan tulisan tangan yang benar-benar sama.

Beliau berkata analisis terhadap sampel tulisan daripada sembilan rakan sebilik Zara menunjukkan terdapat perbezaan ketara walaupun pada pandangan kasar kelihatan hampir sama.

“Kami mengumpul sampel tulisan daripada rakan sebilik Zara yang mungkin kelihatan sama pada pandangan mata kasar.

“Namun melalui pemeriksaan terperinci, saya dapati banyak perbezaan berbanding tulisan Zara.

“Kesemua sembilan penulis menunjukkan perbezaan ketara. Ini membuktikan Penulis A dan Penulis B tidak boleh menulis dengan cara yang sama,” katanya.

Menurut Linthini setiap individu mempelajari asas tulisan tangan melalui sistem buku contoh yang sama, namun akhirnya membentuk gaya tulisan tersendiri sepanjang perkembangan mereka.

Beliau berkata ciri-ciri tersebut dapat dilihat melalui bentuk huruf, ritma tulisan, margin, kekemasan dan tabiat menulis secara tidak sedar.

Dr Linthini turut menjelaskan bahawa pakar dokumen forensik menggunakan kaedah ACE-V (analisis, perbandingan, penilaian dan pengesahan) untuk menentukan pemilik tulisan tangan.

“Pada peringkat analisis kami perlu mengenal pasti semua ciri berulang dan tabiat tidak sedar dalam tulisan seseorang sebelum membuat perbandingan dengan bahan yang dipersoalkan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved