Inkues Zara: Pakar Jelaskan Mengapa Tulisan Tangan Sukar Ditiru

24 Jun 2026 • 5:10 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Inkues Zara: Pakar Jelaskan Mengapa Tulisan Tangan Sukar Ditiru

Inkues Zara: Pakar Jelaskan Mengapa Tulisan Tangan Sukar Ditiru

KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa meniru tulisan tangan seseorang pada banyak halaman adalah sukar kerana perbezaan dalam tabiat penulisan lazimnya akan dapat dikesan.

Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr Linthini Gannetion berkata walaupun perbuatan itu bukan sesuatu yang mustahil, ia tetap sukar kerana tulisan tangan melibatkan pelbagai ciri individu yang tersendiri.

“Saya tidak akan mengatakan ia mustahil, tetapi saya lebih cenderung mengatakan ia sukar kerana kelajuan penulisan, tekanan pen dan tahap kemahiran semuanya akan berbeza kerana ia merupakan perbuatan yang dilakukan secara sedar, bukannya secara tidak sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Joan Goh yang mewakili salah seorang pelajar yang dituduh membuli Zara Qairina Mahathir, dalam prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Ditanya sama ada amat sukar untuk meniru tulisan tangan orang lain, terutama apabila melibatkan jumlah halaman yang banyak, Linthini menjawab: “Ya, pada tahap tertentu saya bersetuju dengan perkara itu.”

Saksi ke-74 dalam inkues itu, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemeriksaan Dokumen Forensik dari Universiti Sains Malaysia, turut menjelaskan bahawa tiada dua individu yang boleh menghasilkan tulisan tangan yang benar-benar sama.

Beliau berkata sampel tulisan tangan rakan-rakan sebilik Zara Qairina, yang mungkin kelihatan serupa pada pandangan mata kasar, menunjukkan perbezaan yang ketara apabila diperiksa secara terperinci.

Linthini berkata sebelum membuat perbandingan terhadap tulisan tangan yang dipertikaikan, seseorang pemeriksa perlu terlebih dahulu mengenal pasti corak penulisan berulang dan berlaku secara tidak sedar dalam tulisan tangan seseorang menggunakan kaedah ACE-V iaitu analisis, perbandingan, penilaian dan pengesahan.

“Jadi pada peringkat analisis, anda perlu melakukan perbandingan dalaman terhadap tulisan penulis itu sendiri. Anda perlu mengenal pasti semua ciri berulang yang dapat dilihat dalam set tulisan tangan individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata bahawa ciri-ciri penulisan yang berulang itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum perbandingan dapat dibuat dengan bahan atau dokumen yang menjadi pertikaian.

Linthini turut memberitahu mahkamah beliau tidak dapat mengesahkan semua tulisan pada helaian dikoyakkan yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 adalah milik Zara Qairina kerana terdapat sampel tulisan tangan tidak mencukupi daripada tempoh masa sama untuk dibandingkan dengan sebahagian tulisan yang dipersoalkan.

Semalam, beliau memberi keterangan bahawa dokumen yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 telah disahkan sebagai helaian yang dikoyakkan daripada diari ‘Love and Peace’ yang dipercayai milik Zara Qairina.

Pada prosiding hari ini, beberapa halaman dipaparkan di skrin semasa sesi soal jawab mengenai kaedah pemeriksaan dokumen. Halaman-halaman tersebut mengandungi catatan yang menyentuh perasaan peribadi Zara Qairina, termasuk perkara berkaitan hubungan Allahyarham dengan ibunya.

Linthini berkata tanpa dokumen dari tempoh yang sama atau sampel tulisan tangan sesuai, sebahagian tulisan tidak dapat dianalisis dengan tepat disebabkan kekurangan bahan yang boleh dibandingkan.

“Kesimpulan saya ialah Y1 hingga Y15 berasal daripada WK9 (diari ‘Love and Peace’), dan WK9 sebenarnya hanya mengandungi 106 halaman. Apabila dibandingkan dengan buku rujukan bagi diari tersebut, jumlah halamannya sepatutnya lebih banyak,” katanya.

“Berdasarkan kesan lekukan ditemui, Y1 hingga Y15 juga didapati telah dikeluarkan daripada WK9 dan saya tidak dapat menolak kemungkinan wujud unsur gangguan atau pengubahsuaian kerana terdapat perubahan serta beberapa halaman daripada WK9 dikeluarkan.

Baca juga:

“Selain itu, Y1 hingga Y15 juga menunjukkan corak penulisan bercampur di mana bagi sesetengah tulisan tangan dalam himpunan tersebut, saya tidak dapat membuat penentuan secara konklusif berikutan ketiadaan bahan contoh tulisan dari tempoh yang sama untuk tujuan perbandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi yang mewakili ibu kepada Zara Qairina berhubung rumusan utama beliau mengenai helaian longgar yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 berdasarkan keseluruhan pemeriksaan dokumen forensik yang dijalankan.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung petang ini dengan saksi yang sama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved