Titah Adendum: Bukan ‘hear say’, afidavit saya adalah benar, kata Wan Rosdy

LocalPolitics
12 Jul 2025 • 12:02 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersyukur Jabatan Peguam Negara (AGC) mengakui kewujudan Titah Adendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengakuan tersebut, kata beliau membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakannya kepada mahkamah sebelum ini adalah benar.

"Ini sekali lagi mengesahkan afidavit yang saya kemukakan kepada pihak mahkamah bahawa saya mengetahui kewujudan titah ini adalah benar dan bukan bersifat ‘hear say’.

“Memandangkan pihak Peguam Negara secara langsung atau tidak langsung mengakui keabsahan Titah Adendum ini, adalah wajar prosiding ini dihentikan dan titah tersebut dilaksanakan," katanya dalam satu perkongsian di akaun Facebook miliknya malam tadi.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden Umno menegaskan bahawa AGC, mahkamah dan semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan perlu menjunjung prinsip pengasingan kuasa.

Katanya, ia termasuk menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya secara peribadi dan juga mewakili rakyat Negeri Pahang berdoa agar Datuk Sri Najib mendapat keadilan seperti yang terkandung dalam Titah Adendum tersebut.

“Kepada ALLAH kami berserah,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada Rabu lalu, Titah Adendum yang menjadi perkara yang dipertikaikan dalam semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak diakui kewujudannya oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya bersetuju titah itu wujud namun mempertikaikan cara atau pendekatan bukti baharu itu dikemukakan di mahkamah.

“Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya sebagai bukti tambahan (pada perbicaraan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi), perlu dipatuhi.

“Oleh yang demikian, kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” ujar beliau ketika menjelaskan pendirian AGC berkaitan kewujudan titah berkenaan.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - 12 Julai, 2025