
Titah Adendum: Enam Bas Bawa Penyokong Najib ‘Berkampung’ Di Mahkamah Tinggi
KUALA LUMPUR — Sebanyak enam buah bas dari Pekan, Pahang yang membawa ratusan penyokong setia bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, lapor Astro AWANI.
Ia bagi memberi sokongan menjelang keputusan penting semakan kehakiman beliau pada pagi ini.
Laungan “Bebas Bossku” & “Lawan tetap lawan” Bergema
“Bebas Bossku” dan “Lawan tetap lawan” antara lauangan keramat sebagai tanda sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.
Untuk makluman, Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadual menyampaikan keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan pada hari ini.
Difahamkan, permohonan itu bertujuan mendapatkan kebenaran untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Keputusan mahkamah akan menentukan sama ada Najib dibenarkan menjalani baki hukumannya di kediaman beliau di Kuala Lumpur atau kekal di Penjara Kajang.
Sebelum ini, permohonan itu telah ditolak di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan sabitan dan hukuman.
Pada 2 Februari 2024, hukuman penjaranya telah dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tempoh penjara akan dilanjutkan setahun jika denda tidak dibayar, sekali gus menjadikan tarikh pembebasan pada 23 Ogos 2029.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan mendakwa wujudnya satu Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkannya menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
BACA: Titah Adendum: Kerajaan Hormati Pandangan Semua Pihak
Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, dan beberapa pegawai kanan kerajaan antara tujuh responden yang dinamakan Najib.
Beliau sebelum ini telah perintah mandamus agar responden mengesahkan kewujudan titah tersebut dan melaksanakannya dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke rumahnya.
Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap pada 4 Julai 2024.
Najib kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan dan berjaya memperoleh keputusan majoriti 2-1 yang memerintahkan semakan itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.
Pada 13 Ogos, panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan mengarahkan semakan kehakiman itu didengar semula di Mahkamah Tinggi berdasarkan merit selepas AGC memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Kes tersebut kembali ke Mahkamah Tinggi dan didengar di hadapan Hakim Datuk Alice Loke, yang menetapkan 22 Disember sebagai tarikh keputusan.
Sumber: Astro AWANI
The post Titah Adendum: Enam Bas Bawa Penyokong Najib ‘Berkampung’ Di Mahkamah Tinggi appeared first on Siakap Keli.
