
PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berisiko menerima kapal tempur persisir (LCS) yang ‘lompong’ iaitu tanpa keupayaan penuh berikutan projek pembinaan tersebut dikesan mengalami kelewatan fizikal.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, pihaknya mengesan berlaku kelewatan kemajuan projek LCS iaitu sebanyak 7.55 peratus dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari, setakat 25 Jun lalu.
Beliau berkata, lelewatan tersebut memberi risiko kepada penyerahan fizikal (PHO) terawal LCS 1 yang dijadualkan pada 26 Ogos lalu atau sasaran baharu pada 26 Disember ini.
“Sekiranya PHO dilaksanakan pada kedua-dua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan.
“Kesiapsiagaan penuh Projek LCS adalah bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dapat disempurnakan pada bulan Disember 2035, iaitu melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030. Kelewatan PHO LCS 1 memberi kesan kepada tempoh PHO LCS 2 hingga LCS 5,” katanya menerusi kenyataan media Laporan Ketua Audit Negara 2/20226.
Wan Suraya berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) disyorkan supaya menetapkan pelan tindakan pemulihan yang realistik bagi memastikan semua aktiviti kritikal Kontrak Utama dan Kontrak Pelengkap diselaraskan dengan jadual PHO LCS.
Beliau berkata, ia bagi memastikan Projek LCS dapat disiapkan dan diserahkan pada tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan.
“Selain itu, memastikan sebarang penerimaan kapal secara bersyarat dengan menetapkan obligasi, tempoh penyempurnaan dan tanggungjawab Kontraktor yang jelas sehingga kapal mencapai keupayaan yang ditetapkan.
“Serta memperkukuh pemantauan kemajuan projek termasuk penetapan pegawai bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal sehingga projek berjaya disempurnakan,” katanya.
The post TLDM berisiko terima LCS 1 ‘lompong’ appeared first on Utusan Malaysia.






