amree05/10/2026 - 11:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt — Penyerahan fizikal (PHO) kapal tempur pesisir (LCS) pertama, LCS 1 bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berdepan risiko diserahkan tanpa keupayaan penuh berikutan kelewatan projek kira-kira 7.55%.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari itu menjejaskan jadual penyerahan LCS 1 yang ditetapkan seawal 26 Ogos lalu atau sasaran baharu menjelang 26 Disember 2026.
"Sekiranya PHO dilaksanakan pada mana-mana tarikh berkenaan, LCS 1 akan diserahkan dalam keadaan belum mencapai keupayaan penuh berikutan latihan dan sistem senjata masih belum disiapkan," jelasnya.
Isu kelewatan projek strategik pertahanan tersebut dibentangkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Parlimen pada 5 Oktober 2026.
Selain menjejaskan kapal pertama, kelewatan PHO LCS 1 turut memberi kesan rantaian terhadap jadual penyerahan bagi kapal-kapal seterusnya iaitu dari LCS 2 hingga LCS 5.

Wan Suraya memberitahu bahawa kesiapsiagaan penuh keseluruhan projek LCS bergantung kepada Kontrak Tambahan yang hanya dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Disember 2035.
Ujarnya, tarikh penyiapan Kontrak Tambahan berkenaan adalah lima tahun melepasi tarikh tamat Kontrak Utama projek yang dijadualkan berakhir pada 25 April 2030.
Audit interim yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara ini bertujuan menilai pengurusan projek LCS dari segi kemajuan fizikal, kemajuan kewangan, pengurusan kontrak serta pembayaran berdasarkan syarat kontrak dan peraturan berkuat kuasa.
"Langkah pengauditan itu turut mengambil kira syor daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang bertarikh 9 Oktober 2023," katanya.
PAC sebelum ini mengesyorkan agar Jabatan Audit Negara menjalankan audit ke atas projek LCS sebelum LCS 1 diserahkan secara rasmi kepada TLDM dan membentangkan penemuannya di Parlimen.
LKAN 2/2026 yang dibentangkan kali ini merangkumi 15 dokumen utama yang meliputi penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan serta aktiviti agensi dan jabatan kerajaan. - DagangNews.com





