TM Batalkan Perjanjian Belian Saham DNB – Pengguna Unifi Mobile Masih Boleh Guna 5G

TechnologyDigital
10 May 2023 • 11:46 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Telekom Malaysia hari ini memaklumkan yang mana mereka tidak akan meneruskan pembelian saham pada penyedia infrastruktur 5G di Malaysia, iaitu Digital Nasional Berhad (DNB). TM menyatakan langkah ini diambil kerana tempoh untuk memenuhi pelbagai syarat dibawah perjanjian tersebut telah luput.

TM sebelum ini telah berhasrat untuk mendapatkan pegangan 20% pada DNB. Namun, kini dengan perubahan ini, TM sedang melihat kepada proses seterusnya, selari dengan pelaksanaan model dwirangkaian 5G di Malaysia.

Apa pun, TM menekankan mereka akan terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan dan implementasi 5G di Malaysia, termasuk melalui penggunaan infrastruktur fiber milik TM di seluruh negara.

Walaupun membatalkan pembelian saham, namun pengguna Unifi Mobile masih boleh terus menikmati perkhidmatan 5G – kerana perjanjian untuk penggunaan akses bersama DNB masih kekal aktif. Sebelum ini, pihak CelcomDigi turut telah mengumumkan mereka membatalkan pembelian saham pada DNB.