
Pagi ini kami telah melaporkan tentang pengumuman Digital Nasional Berhad mengatakan bahawa kontrak diantara mereka Telekom Malaysia masih lagi berkuat-kuasa sehingga 2032. TM sebelum ini telah menandatangani kontrak 3 tahun baharu dengan U Mobile untuk menggunakan rangkaian 5G kedua mereka, meninggalkan rangkaian 5G yang dibangunkan DNB.
Terkini, pihak TM juga telah mengeluarkan kenyataan mereka sendiri, membidas dakwaan DNB bahawa TM masih belum mematuhi sepenuhnya syarat-syarat khusus mengenai penamatan awal serta keperluan yang berkenaan.
KENYATAAN TM BERHUBUNG PERJANJIAN AKSES 5G DENGAN DNB
Telekom Malaysia Berhad (TM) mengambil maklum kenyataan media Digital Nasional Berhad (DNB) mengenai Perjanjian Akses 5G bertarikh 3 Mac 2026.
TM telah melaksanakan hak kontraktualnya di bawah Perjanjian Akses 5G dengan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat khusus mengenai penamatan awal serta keperluan yang berkenaan, yang juga berkaitan dengan Model Dwi-Rangkaian 5G. Keputusan ini dibuat selepas analisis menyeluruh terhadap semua hak dan obligasi perundangan sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Akses tersebut. TM menegaskan bahawa notis penamatannya adalah sah dan mengekalkan sepenuhnya segala haknya.
Perjanjian Akses tersebut turut memperuntukkan mekanisme bagi menyelesaikan sebarang perbezaan tafsiran antara pihak-pihak terbabit, dan TM akan mengambil langkah sewajarnya selaras dengan peruntukan perjanjian tersebut.
Keutamaan kami kekal untuk memastikan perkhidmatan kepada pelanggan tidak terganggu, sambil mengurus peralihan ini secara berfasa dan teratur.
Dalam kenyataan tersebut, TM mengatakan bahawa notis penamatan yang dikeluarkan bukan sahaja sah, tetapi pihak TM juga telah melaksanakan hak kontraktual dengan mematuhi syarat-syarat yang terkandung didalam kontrak Perjanjian Akses 5G bersama DNB. Perjanjian akses tersebut juga memperuntukkan mekanisma yang jelas untuk mengelakkan salah tafsir oleh kedua-dua pihak syarikat.
Pihak TM melalui Unifi Mobile nampaknya tekad kekal menukar pengelola rangkaian kepada rangkaian 5G kedua, U Mobile seperti yang diumumkan sebelum ini.
