TM One dan Agrobank jalin kerjasama strategik lima tahun transformasi pendigitalan sektor pertanian, PMKS berasas tani

LocalTechnology
8 Aug 2025 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TM One dan Agrobank jalin kerjasama strategik lima tahun transformasi pendigitalan sektor pertanian, PMKS berasas tani

image is not available

08/08/2025 - 11:30

Pertukaran dokumen antara TM One dan Agrobank sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di Sabah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos – TM One, cabang penyelesaian digital bagi sektor perusahaan dan awam Telekom Malaysia Bhd (TM) telah memeterai kerjasama strategik selama lima tahun bersama Agrobank bagi mempercepat transformasi digital sektor pertanian serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berasas tani.

Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, kerjasama itu sejajar dengan agenda nasional seperti Dasar Agromakanan Negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan keterangkuman digital luar bandar dan keterjaminan makanan.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Agrobank dalam merealisasikan impak jangka panjang kepada industri penting ini, dengan memanfaatkan penyelesaian digital yang mampu menjana keterangkuman kewangan, ketahanan operasi serta pertumbuhan yang mampan.

“Ini merupakan sebahagian daripada komitmen TM di bawah agenda Digital Powerhouse 2030 untuk menerajui pertumbuhan digital melalui pacuan teknologi, membentuk industri masa depan dan mencipta kemajuan digital yang inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama itu dimeterai sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah, melibatkan pertukaran dokumen antara Naib Presiden Enterprise Business TM One, Megawati Norhashim dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.

Turut hadir menyaksikan kerjasama tersebut ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Shazurawati dan Pengerusi Kumpulan Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani.

Melalui kerjasama jangka panjang itu, TM One akan menyediakan perkhidmatan sambungan, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan perkhidmatan ICT terurus kepada rangkaian cawangan Agrobank di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, perkongsian ini mengukuhkan mandat Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan dalam memperkasa agropreneur melalui penggunaan teknologi digital.

“Sektor pertanian yang dahulunya dilihat tradisional kini berkembang pesat seiring kemajuan digital. Integrasi penyelesaian digital membuktikan industri berasaskan agro tidak lagi ketinggalan.

“Sebagai penyedia pembiayaan utama dalam sektor yang menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, Agrobank komited untuk memperkasa semua pemain utama dalam industri termasuk petani dan agropreneur untuk terus berkembang dalam ekonomi berteraskan teknologi.

“Perkongsian ini bukan sahaja mengukuhkan peranan kami sebagai institusi pembangunan, malah mencerminkan kesediaan kami dalam menyokong ekosistem agro yang lestari dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Melalui inisiatif ini, TM One akan menyediakan perkhidmatan rangkaian SDWAN yang selamat di seluruh cawangan Agrobank, sekaligus meningkatkan keupayaan rangkaian, ketahanan operasi dan keselamatan siber bank tersebut.

Kolaborasi ini dijangka merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, sekaligus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti pertanian di seluruh negara. - DagangNews.com

standard