TM rangkul Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia 2023
zulfadli
03/10/2023 - 15:03
KUALA LUMPUR 3 Okt - TM merangkul Anugerah Jenama Majikan Terbaik di Asia Best Employer Brand Awards yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen TM yang telah memupuk kemajuan perkembangan anggota, pembelajaran yang berterusan dan budaya berprestasi tinggi.
Ketua Pegawai Modal Insan TM, Sarinah Abu Bakar berkata, anggota TM merupakan penggerak utama di sebalik kejayaan pihaknya.
Katanya, pengiktirafan di Asia Best Employer Brand Awards 2023 ini mengukuhkan dedikasi pihaknya terhadap pertumbuhan dan kesejahteraan setiap warga TM.
"Para anggota merupakan teras strategi perniagaan kami. Pelaburan terhadap tenaga kerja kami ini bukanlah ditumpukan semata-mata kepada pembangunan peribadi dan profesional mereka, malah turut bertujuan untuk menerapkan kecekapan yang tepat bagi menyokong prestasi perniagaan kami.
"Anugerah ini menunjukkan usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan dan transformasi ke arah menjadi sebuah TechCo, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sarinah berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada seluruh kakitangan TM kerana dedikasi dan kerja keras merekalah yang telah merealisasikan kejayaan ini.

"Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi majikan yang terbaik dan luar biasa akan diteruskan dalam kami beraspirasi untuk berkembang dan memperoleh kejayaan bersama," katanya.
Memupuk pembangunan dan pertumbuhan peribadi anggota adalah aspek penting dalam usaha TM yang menekankan peranan penting modal insan untuk membentuk hasil perniagaan yang positif.
Sejak sekian lama, TM memperkenalkan budaya yang menghargai prestasi tinggi, pembelajaran berterusan dan pendigitalan, sejajar dengan pendekatan kerja yang tangkas (Agile) untuk memperkasa pasukan dengan tahap fleksibiliti dan produktiviti yang lebih tinggi.
Dalam TM terus menuju ke arah peringkat pertumbuhan yang seterusnya, syarikat kekal komited untuk melabur dalam kemahiran masa hadapan bagi meningkatkan lagi prestasi perniagaan. - DagangNews.com



