TMD Energy mula diniagakan di Bursa Saham New York, raih modal lebih RM44 juta

22/04/2025 - 15:19
Gambar/Straits Energy Resources Berhad Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 22 April - Penyedia perkhidmatan marin dan bunkering yang beroperasi di Malaysia dan Singapura, TMD Energy Limited, disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE) semalam, sekali gus muncul pembekal bunker marin tempatan pertama tersenarai di Bursa Utama AS tersebut.
Harga saham TMD Energy dibuka pada RM15.14, melonjak ke paras tertinggi RM18.08 sebelum ditutup pada RM15.93, meningkat 11.69% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu RM14.26 sesaham.
Peningkatan itu menjadikan nilai pasaran syarikat mencecah kira-kira RM367.2 juta pada hari pertama penyenaraian.
IPO TMD Energy berjaya mengumpul hasil kasar kira-kira RM44.13 juta, sebelum ditolak kos penyenaraian dan diskaun penjaminan.
Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membeli minyak kargo, menampung kos penyenaraian dan sebagai modal kerja serta tujuan korporat umum lain.
Syarikat turut memberi tempoh 45 hari kepada penaja jamin untuk membeli sehingga 465,000 saham tambahan pada harga IPO, sekiranya berlaku lebihan permintaan.
Jika pilihan iu digunakan sepenuhnya, jumlah hasil kasar dijangka mencecah sekitar RM50.73 juta.
TMD Energy adalah sebahagian daripada Straits Energy Resources Berhad, yang turut disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Selain aktiviti perdagangan minyak dan bunkering, Straits Energy juga terlibat dalam pelbagai perniagaan lain termasuk operasi kapal-ke-kapal, pengurusan kapal, agensi perkapalan, perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian, serta pengangkutan dan logistik darat.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TMD Energy, Dato’ Sri Ron Ho Kam Choy berkata, penyenaraian di NYSE mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai antara peneraju dalam industri berkenaan.
"Malaysia mempunyai lokasi strategik di laluan perkapalan utama seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan, selain permintaan bahan api bunker yang kekal tinggi di rantau ini dan global.
"Ini memberi kelebihan besar untuk kami terus berkembang," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TMD Energy, Dato’ David Yoong Leong Yan berkata, penyenaraian tersebut menjadi titik tolak kepada fasa pertumbuhan baharu syarikat.
"Sambil meneruskan pertumbuhan secara organik, kami juga akan memberi tumpuan kepada strategi penggabungan dan pengambilalihan yang boleh memperkukuh kedudukan serantau," ujarnya.
TMD Energy beroperasi di 19 pelabuhan di seluruh Malaysia menggunakan 15 kapal bunkering yang diselenggara dengan baik, dengan kapasiti antara 540 hingga 7,820 tan berat mati (dwt).
Pelanggannya termasuk pemilik kapal, syarikat perkapalan, syarikat logistik, peniaga minyak dan gas, serta broker.
Pada tahun 2023, anak syarikat TMD Energy, Tumpuan Development Sdn Bhd, menjadi pembekal dan peniaga bahan api bio pertama di Malaysia yang diiktiraf di bawah skim Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC EU), menunjukkan komitmennya dalam mengurangkan jejak karbon dalam industri perkapalan dan memimpin inisiatif kemampanan di Asia Tenggara. - DagangNews.com
standard

