
TMJ Tolak Tanggapan “Bola Sepak Malaysia Gagal”
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menolak tanggapan sesetengah pihak yang menanggapi bola sepak Malaysia sebagai gagal, dengan menekankan kejayaan luar biasa JDT di peringkat Asia sebagai bukti.
“Kadangkala ianya sukar untuk difahami kenapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal sedangkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berkembang menjadi pasukan nombor 1 di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
“Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun. Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7%) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membenarkan lebih banyak kelab-kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.

“JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015). JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik – termasuk perubatan – di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.” ujar baginda dalam kenyataan menerusi laman X, @OfficialJohor.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor turut menyifatkan pencapaian ini sebagai satu pencapaian luar biasa yang belum pernah dicapai mana-mana pasukan lain dalam sejarah bola sepak tempatan.

Mengulas lanjut, baginda berkata, persepsi kegagalan sukan bola sepak negara lebih berkait rapat dengan kehadiran individu-individu yang tidak berkelayakan dalam industri tersebut.
“Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik? Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
“Bola sepak tidak gagal, ianya adalah individu-individu dalam pasukan-pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu,” jelas baginda.

Bagi menyelesaikan isu ini, baginda menegaskan bahawa tumpuan harus diberikan kepada pembangunan dalaman setiap pasukan.
“Sebelum kita menuding jari dan mencari kesalahan pada sistem atau JDT meskipun Harimau Selatan berjaya di Asia termasuk penganugerahan ‘AFC Two-Star Academy’, ianya adalah lebih wajar jika kita melihat apa yang berlaku dari dalam dan mendesak perubahan, bermula dengan pasukan masing-masing.
“Sebuah liga dengan pasukan-pasukan yang diuruskan dengan baik serta mempunyai fasiliti moden dan pembangunan program-program akar umbi yang kuat di peringkat kelab akan meningkatkan lagi standardnya,” tambah baginda.
Sumber: X @OfficialJohor
The post TMJ Tolak Tanggapan “Bola Sepak Malaysia Gagal” appeared first on Siakap Keli.
