SHAH ALAM, 11 FEB: Tourism Selangor optimis kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 mampu mencapai sasaran kedatangan lapan juta pelancong.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Chua Yee Ling berkata pihaknya memberi tumpuan kepada pasaran pelancong utama seperti Jepun, China dan Indonesia.

“Tourism Selangor menjalin kerjasama dengan pemain industri menganjurkan pelbagai karnival fiesta makanan dan gastronomi.
“Pada Mac depan, tumpuan utama adalah pesta durian yang akan menjadi tarikan pelancong luar datang ke Selangor menikmati raja buah ini,” katanya kepada Media Selangor.
Yee Ling menambah pihaknya turut menganjurkan FAM Trip bersama peserta Forum Pelancongan Asean untuk mempromosikan produk pelancongan Selangor pada bulan lepas.
“FAM trip ini melibatkan pengamal media, pemimpin pendapat utama (KOL) dan agensi pelancongan seluruh Asean.
“Mereka turut dibawa mengenali produk pelancongan negeri dengan lebih dekat selain membantu promosi kempen TMS2025,” katanya.

Menurutnya lagi, Tourism Selangor melalui penglibatan persatuan budaya turut membuat promosi poster dan logo TMS2025 di majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.




The post TMS2025: Tourism Selangor optimis capai sasaran lapan juta pelancong appeared first on Selangorkini.





