TNB catat prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama 2026, lindungi rakyat ketika ketidaktentuan di Asia Barat

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 7:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB catat prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama 2026, lindungi rakyat ketika ketidaktentuan di Asia Barat Image from: TNB catat prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama 2026, lindungi rakyat ketika ketidaktentuan di Asia Barat johardy27/08/2026 - 19:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM johardy@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mencatatkan prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), sekali gus memperteguh keupayaannya menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat, memperkukuh keterjaminan tenaga negara serta memacu agenda peralihan tenaga Malaysia dalam persekitaran tenaga global yang dinamik.

 

Dalam keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu, peningkatan permintaan elektrik dan keperluan peralihan tenaga yang terus berkembang, TNB kekal fokus untuk meneruskan kecemerlangan operasinya, disokong pengurusan kewangan yang berdisiplin serta pelaksanaan strategik model perniagaan bersepadunya.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata daya tahan ini membolehkan TNB terus melabur dalam ekosistem tenaga Malaysia dan pada masa sama memberikan nilai kepada para pemegang taruhnya.

 

“Prestasi 1H 2026 ini membolehkan kami terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan sahaja membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuh keterjaminan tenaga negara, mempercepat peralihan tenaga serta memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat, di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” katanya.

 

Bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat untuk rakyat

Harga bahan api global terus mempengaruhi kos penjanaan elektrik sepanjang 1H 2026, mengakibatkan pelarasan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diperkenalkan kerajaan.

 

AFA mencerminkan perubahan dalam kos sebenar bahan api dan dilaksanakan menerusi mekanisme yang diluluskan kerajaan bagi memastikan ketelusan dalam mengurus turun naik kos bahan api. Pengguna elektrik telah menerima rebat RM3.1 bilion sejak AFA mula diperkenalkan pada Julai 2025 hingga April tahun ini.

 

Susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sejak Mei 2026 bagi mengurangkan impak kepada pengguna.

 

Walaupun harga bahan api dipengaruhi situasi pasaran global, TNB terus memberikan tumpuan kepada aspek yang berada dalam kawalannya menerusi peningkatan kecekapan operasi, pengoptimuman prestasi penjanaan dan pengekalan kebolehpercayaan bekalan.

 

TNB melabur RM5.6 bilion sepanjang 1H 2026 dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bekalan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, memastikan keterjaminan bekalan dan mempercepat peralihan tenaga.

 

Menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi grid pintar, automasi rangkaian dan penyelenggaraan ramalan, TNB turut memantapkan keupayaannya memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta meningkatkan pengurusan gangguan bekalan, terutamanya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.

 

Pelaburan ini terbukti membawa hasil apabila Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 23.45 minit.

 

Memacu sistem tenaga masa hadapan Malaysia

TNB terus mempercepat pelaburan strategik bagi memperkukuh ekosistem tenaga negara dan mempersiapkan Malaysia menghadapi pertumbuhan permintaan elektrik pada masa hadapan yang dipacu oleh elektrifikasi industri, industri berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan pusat data.

 

Antara pencapaian utama sepanjang tempoh ini termasuk:

 

  • Pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Terengganu, yang diiktiraf sebagai BESS tersambung grid dengan teknologi grid-forming yang pertama di Malaysia.

 

bess

 

 

  • Kerjasama dengan Petronas Gas Berhad bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak, seterusnya meningkatkan daya tahan bekalan LNG jangka panjang dan menyokong penjanaan elektrik yang boleh dipercayai.

 

  • Mempercepat peralihan tenaga menerusi penganjuran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 delegasi dari lebih 60 negara serta menghasilkan 15 kerjasama strategik merangkumi tenaga boleh baharu, pembangunan grid dan kesalinghubungan serantau.

 

PMX-ETCON

 

  • Pelancaran Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA) bagi membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh kerjasama antara industri, ahli akademik dan penggubal dasar dalam merealisasikan rumusan peralihan tenaga yang praktikal.

 

Nilai berterusan kepada semua

Selain membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, TNB terus membina nilai berterusan kepada komuniti dan alam sekitar.

 

My Brighter Green Initiative 2026 memperkukuh komitmen TNB terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di seluruh negara sepanjang tahun ini.

 

My Brighter Green Inititative

 

Inisiatif itu menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan penglibatan komuniti, di samping menyokong agenda kelestarian alam sekitar Malaysia.

 

TNB turut memperluas usaha pemerkasaan komuniti menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dengan RM109 juta diperuntukkan sepanjang tempoh ini, termasuk:

 

  • Sokongan pendidikan (RM71.1 juta): Bantuan kepada pelajar menerusi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), yang memanfaatkan 7,550 pelajar serta memperkukuh pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.

 

  • Pembangunan sukan (RM5.4 juta): Pelbagai bentuk sokongan yang memanfaatkan 42,420 atlet dan peminat sukan, termasuk program hoki kebangsaan.

 

Program hoki kebangsaaan

 

  • Program bersama sekolah (RM7.1 juta): Merangkumi beberapa inisiatif termasuk Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid dan 50 sekolah.

 

  • Program komuniti dan sokongan (RM16.3 juta): Pelbagai inisiatif sokongan komuniti termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat, yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.

 

  • Pemerkasaan komuniti melalui elektrifikasi (RM0.4 juta): Inisiatif elektrifikasi termasuk pemasangan sistem solar, pencahayaan LED dan pendawaian semula yang memberi manfaat kepada 3,600 orang.

 

Selain itu, sejumlah RM8.7 juta zakat wakalah disalurkan kepada lebih 50,000 penerima asnaf.

 

Prestasi mampan 1H 2026

Prestasi operasi TNB yang berdaya tahan diterjemahkan kepada kedudukan kewangan yang sihat, membolehkan TNB meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal di samping memberikan pulangan kepada pemegang saham.

 

Bagi 1H 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2.0 bilion, disokong peningkatan jualan elektrik yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi.

 

Prestasi stabil ini membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.

 

Pembayaran dividen tersebut berjumlah RM1.5 bilion yang akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1% disalurkan kepada syarikat dan institusi pelaburan berkaitan kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.

 

“Justeru, manfaat ini dipulangkan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberikan nilai di samping menyumbang kembali kepada negara,” kata Shamsul.

 

Daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur yang menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.

 

Kekal teguh berkhidmat untuk rakyat

Melangkah ke hadapan, permintaan elektrik dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan yang stabil, disokong perkembangan sektor perindustrian, pendigitalan, bangunan pintar, mobiliti elektrik dan peningkatan pelaburan dalam industri berasaskan AI dan pusat data.

 

Di sebalik permintaan yang terus berkembang, TNB kekal teguh dengan tanggungjawab utamanya untuk menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, terjamin dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia.

 

“TNB komited untuk memberikan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi lebih penting kepada rakyat, dengan memastikan peralihan tenaga memperkukuh ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang baharu dan meningkatkan kualiti hidup generasi akan datang,” kata Shamsul.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved