Tune Protect catat pertumbuhan untung 66.5% suku ke suku, segmen bukan perjalanan semakin kukuh

Business & Finance
27 Aug 2026 • 6:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tune Protect catat pertumbuhan untung 66.5% suku ke suku, segmen bukan perjalanan semakin kukuh Image from: Tune Protect catat pertumbuhan untung 66.5% suku ke suku, segmen bukan perjalanan semakin kukuh johardy27/08/2026 - 18:47 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tune Protect Group Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM6.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), meningkat 66.5% berbanding RM3.9 juta pada suku sebelumnya, disokong prestasi pengunderaitan lebih baik dan peningkatan pendapatan pelaburan.

 

Prestasi itu turut mendapat manfaat daripada pengalaman tuntutan yang lebih baik, kos pemerolehan lebih rendah serta pertumbuhan perniagaan bukan perjalanan (Non-Travel), yang semakin memainkan peranan penting dalam mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan.

 

Hasil perkhidmatan insurans bersih meningkat 45.2% tahun ke tahun kepada RM7.5 juta, manakala nisbah gabungan bertambah baik sebanyak 3.1 mata peratusan kepada 90.9% daripada 94% pada 2Q25.

 

Pendapatan pelaburan pula meningkat 21.5% suku ke suku kepada RM5.2 juta daripada RM4.3 juta, susulan pengurangan ketidaktentuan pasaran selepas pengumuman gencatan senjata Amerika Syarikat-Iran pada April.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata prestasi 2Q26 menunjukkan pemulihan berterusan kumpulan secara suku tahunan, diterajui daya tahan segmen bukan perjalanan, disiplin pengunderaitan dan persekitaran pelaburan yang semakin menggalakkan.

 

“Prestasi 2Q26 kumpulan menunjukkan pemulihan berterusan kami secara suku tahunan yang diterajui segmen bukan perjalanan yang berdaya tahan, pengunderaitan berdisiplin dan persekitaran pelaburan yang lebih menggalakkan,” katanya.


 

TuneProtect

 

Segmen bukan perjalanan semakin penting

Premium bertulis kasar (GWP) bagi segmen bukan perjalanan meningkat 10.1% tahun ke tahun, dipacu pengembangan strategik dalam segmen motor dan kerjasama affinity yang lebih luas.

 

Pertumbuhan itu membantu mengimbangi kelembapan perniagaan perjalanan ketika permintaan perjalanan dan jumlah penumpang syarikat penerbangan kekal lemah.

 

Tune Protect berkata portfolio bukan perjalanannya berkembang menerusi beberapa bidang termasuk perlindungan pekerja asing, ekosistem motor, insurans kebakaran dan perlindungan panel solar.

 

Kualiti portfolio motor turut bertambah baik apabila nisbah tuntutan turun empat mata peratusan, disokong pengoptimuman campuran portfolio. Pertumbuhan diterajui segmen kereta persendirian dan motosikal menerusi saluran agensi serta kerjasama affinity.

 

Pada masa sama, perlindungan perubatan pekerja asing diperluaskan menerusi platform terbesar yang diluluskan kerajaan, sekali gus menyediakan satu lagi sumber pertumbuhan kepada perniagaan bukan perjalanan.

 

Pelbagaikan perniagaan perjalanan

Walaupun GWP perjalanan merosot 23.2% tahun ke tahun, Tune Protect terus mengembangkan saluran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan agensi pelancongan dalam talian (OTA) bagi mengurangkan kebergantungan kepada jumlah penumpang syarikat penerbangan.

 

Kumpulan turut melaksanakan pengoptimuman harga produk perjalanan yang membantu meningkatkan kadar pengambilan sebanyak lapan mata peratusan tahun ke tahun.

 

Saluran pengedaran baharu menerusi kerjasama B2B turut diperluaskan di Thailand, Vietnam dan Malaysia, selain memanfaatkan hubungan AirAsia WANO bagi meningkatkan kadar penukaran dan memperluaskan capaian pelanggan.

 

Tune Protect pada masa sama memperluaskan perkhidmatan sampingannya kepada 30 peniaga merentasi lapan kategori termasuk ketersambungan, ruang istirahat lapangan terbang, pengangkutan darat dan mobiliti, telekesihatan, penjagaan motor serta perkhidmatan gaya hidup.

 

Kumpulan menyasarkan pelancaran akses ruang istirahat lapangan terbang untuk penumpang Kelas Perniagaan serta pas ruang istirahat kendiri pada suku keempat 2026, sebagai sebahagian usaha membina sumber pendapatan tambahan dalam ekosistem perjalanan.

 

Fokus pertumbuhan separuh kedua

Bagi separuh pertama 2026 (1H26), Tune Protect mencatatkan PAT RM10.3 juta berbanding RM17 juta setahun sebelumnya, manakala hasil insurans berjumlah RM162.9 juta berbanding RM175 juta.

 

Kumpulan menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada separuh kedua tahun ini berikutan ketidaktentuan geopolitik yang boleh mempengaruhi permintaan perjalanan antarabangsa, sentimen pasaran dan prestasi pelaburan.

 

Bagaimanapun, Tune Protect melihat pasaran insurans am kekal berdaya tahan disokong aktiviti ekonomi domestik yang stabil, selain peluang pertumbuhan daripada permintaan terhadap produk insurans nilai tambah dan perkhidmatan digital.

 

How berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pengunderaitan berdisiplin, pengurusan tuntutan berhemat dan pengoptimuman kos sambil mempercepatkan pertumbuhan portfolio bukan perjalanan.

 

Tune Protect juga akan meneruskan pengimbangan semula portfolio, memperkukuh saluran pengedaran dan memperdalam kerjasama dengan rakan strategik bagi menyokong prestasi pengunderaitan yang mampan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved