TNB Electron umum pengecasan EV percuma selama 4 hari sepanjang cuti Hari Raya

19 Apr 2023 • 12:23 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

TNB Electron, penyedia perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kini menawarkan pengecasan percuma di stesen pengecas DC mereka di lebuhraya sempena cuti Hari Raya. Ia selaras dengan tarikh tol percuma yang diumum oleh Perdana Menteri semalam.

Dengan tawaran ini, pengguna tidak perlu membayar langsung untuk mengecas di stesen TNB Electron pada 19 hingga 21 April, serta pada 24 April 2023. Untuk menggunakan perkhidmatan ini, ia perlu diaktifkan menerusi aplikasi Go To-U (Google Playstore, Apple AppStore).

image is not available

Stesen TNB Electron kini terdapat di tiga tempat iaitu:

  1. R&R Tapah, Perak Lebuhraya PLUS arah Utara
  2. R&R Ayer Keroh, Melaka Lebuhraya PLUS arah Utara
  3. R&R Paka, Terengganu LPT arah Utara

Orang ramai boleh mengecas di stesen TNB Electron pada bila-bila masa, kerana ia dibuka sepanjang masa, 24 jam sehari. Perlu diambil perhatian, promosi ini hanya terhad untuk stesen pengecas di lebuhraya sahaja, tidak termasuk pengecas DC di Auto Bavaria, BYD, Jaguar dan Sime Darby Auto Selection yang memiliki pengecas oleh TNBX.

Selain tiga lokasi di atas, TNB merancang untuk membangunkan enam lagi lokasi stesen pengecas DC di Malaysia tahun ini. Pertambahan enam lagi stesen ini akan diletakkan di R&R Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Di samping TNB Electron, Shell Recharge juga mengumumkan pengecasan EV percuma di 7 stesen pengecas mereka di sepanjang lebuhraya PLUS. Tawaran Shell Recharge juga lebih lama, iaitu sehingga 15 hari tetapi ia diberikan dalam bentuk pemulangan kredit 100%.

[Sumber: Tenaga Nasional]

Bacaan Berkaitan