TNB, Gamuda antara kaunter saham teratas paling banyak dibeli pelabur asing

LocalBusiness & Finance
14 May 2025 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB, Gamuda antara kaunter saham teratas paling banyak dibeli pelabur asing

image is not available

14/05/2025 - 12:45

KUALA LUMPUR 14 Mei - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Gamuda Bhd merupakan antara lima kaunter teratas yang paling banyak dibeli oleh pelabur asing di Bursa Malaysia sepanjang dua minggu lalu.

Pelabur asing meneruskan aliran masuk bersih mereka ke pasaran ekuiti tempatan bagi minggu berakhir 9 Mei 2025, menjadikannya tiga minggu berturut-turut aktiviti pembelian, menurut laporan aliran dana oleh MIDF Research.

Pelabur asing menjadi pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Khamis, yang mencatatkan aliran keluar masing-masing sebanyak RM92.4 juta dan RM42.4 juta.

Menurut laporan itu juga, aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan adalah pada Rabu sebanyak RM364.8 juta, diikuti Jumaat sebanyak RM135.1 juta.

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM253.3 juta), telekomunikasi dan media (RM53.3 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM51.1 juta).

Pada minggu ini antara kaunter saham yang aktif adalah TNB, IHH Healthcare Bhd, Gamuda dan RHB Bank Bhd.

Pada minggu sebelumnya, antara teratas yang menjadi tumpuan pelabur asing ialah CIMB Group Holdings Bhd, TNB, Sunway Bhd dan Gamuda.

Laporan itu turut menyatakan, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut. - DagangNews.com

standard