liza03/06/2026 - 16:23 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Shamsul Ahmad KUALA LUMPUR 3 Jun – Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengulangi komitmennya untuk terus menerajui agenda peralihan tenaga negara dan mengakui keperluan mendesak dalam menangani cabaran perubahan iklim global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Shamsul Ahmad berkata, dalam masa yang sama, syarikat utiliti negara itu kekal memikul tanggungjawab memastikan bekalan elektrik yang stabil, selamat dan berdaya tahan kepada jutaan isi rumah, sektor perniagaan serta industri di seluruh negara.
Menurut beliau, pendekatan TNB dalam mendepani transformasi tenaga berpandukan prinsip trilema tenaga yang menyeimbangkan aspek keselamatan bekalan, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan peralihan berlaku secara teratur dan mampan.
“Ketika ini, kami terus melabur dalam penjanaan tenaga yang lebih bersih, memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu serta mengurangkan intensiti karbon operasi syarikat.
“Pada masa sama, kami turut memperkukuh dan memodenkan grid elektrik bagi membolehkan integrasi tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dengan sistem yang lebih fleksibel dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena hari pertama Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah; serta Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Dalam pada itu, Shamsul berkata pencapaian TNB dalam memastikan kebolehpercayaan bekalan elektrik kekal pada tahap tinggi dapat dilihat menerusi kadar gangguan Sistem Minutes yang hanya mencatatkan 0.15 minit pada tahun 2025, jauh lebih baik berbanding penanda aras global iaitu di bawah 1.5 minit.
Katanya, prestasi itu mencerminkan keberkesanan pelaburan berterusan TNB dalam pengukuhan infrastruktur grid serta operasi sistem yang efisien dan berdaya tahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 anjuran TNB himpun 80 pakar global pacu agenda ASEAN
Tambah beliau, aspek kelestarian dan tadbir urus turut diiktiraf apabila penarafan MSCI ESG TNB dinaik taraf kepada AA pada tahun 2026 daripada A pada tahun sebelumnya.
Shamsul berkata TNB turut memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan industri antarabangsa serta peneraju teknologi global, selain melabur dalam infrastruktur tenaga di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga syarikat.
Mengulas mengenai ETCon26, beliau berkata persidangan itu menjadi platform penting yang menggabungkan dasar, industri, pelaburan dan inovasi di bawah satu ekosistem bagi mempercepatkan transformasi tenaga negara.
“Peralihan tenaga memerlukan kerjasama semua pihak. Dasar menentukan hala tuju, industri melaksanakan, pelabur membolehkan skala, manakala inovasi membuka ruang kepada penyelesaian baharu. Kesemuanya perlu bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tema tahun ini, “Tenaga dan AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga”, dipilih bagi mencerminkan peranan teknologi kecerdasan buatan sebagai pemangkin utama transformasi sektor tenaga.
Katanya, TNB kini berada pada fasa pelaksanaan berskala besar dalam peralihan tenaga yang turut berdepan cabaran infrastruktur legasi dan kekangan kos.
“Walaupun kami mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu, ia perlu diseimbangkan dengan kemampuan kos kepada pengguna serta keselamatan bekalan negara. Dalam konteks ini, teknologi AI membantu mengoptimumkan operasi grid, pengurusan aset serta meningkatkan kecekapan tenaga secara menyeluruh,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, usaha pendigitalan TNB telah bermula sejak 2015 melalui pelaksanaan Grid Masa Depan, dan kini diperkukuh dengan penggunaan teknologi AI bagi mempercepatkan transformasi sistem tenaga negara.
“Hari ini, kami sedang melangkah ke fasa seterusnya dengan memanfaatkan AI sebagai pemangkin utama untuk melonjakkan TNB ke tahap yang lebih maju,” katanya. – BERNAMA






