TNB labur RM43 bilion naik taraf grid elektrik, perkasa peralihan tenaga negara bagi tempoh 2025–2027

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB labur RM43 bilion naik taraf grid elektrik, perkasa peralihan tenaga negara bagi tempoh 2025–2027 Image from: TNB labur RM43 bilion naik taraf grid elektrik, perkasa peralihan tenaga negara bagi tempoh 2025–2027 liza03/06/2026 - 17:51 Datuk Seri Fadillah Yusof Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur sebanyak RM43 bilion (AS$ 10.8 bilion) bagi tempoh 2025 hingga 2027 dalam usaha memperkukuh sistem grid elektrik negara yang akan mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia.

 

Pelaburan berskala besar itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ET-Con26) di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.

 

Menurut beliau, pelaburan tersebut akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja naik taraf infrastruktur grid elektrik, selain mempertingkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem bekalan tenaga negara.

 

“Selain itu, ia turut merangkumi usaha integrasi elemen kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam operasi grid bagi memastikan sistem tenaga negara lebih pintar, responsif dan berdaya tahan.

 

“Langkah ini dilihat penting ketika permintaan elektrik dijangka terus meningkat dengan ketara, didorong oleh pertumbuhan sektor industri, urbanisasi serta peningkatan penggunaan teknologi baharu,” katanya.

 

Tambahnya, dunia kini sedang berdepan cabaran tenaga yang kompleks apabila permintaan elektrik meningkat, namun sumber tenaga fosil seperti minyak, gas dan arang batu kekal terhad.

 

“Berdasarkan anggaran semasa, rizab minyak dunia mungkin bertahan sekitar 50 tahun, gas asli sekitar 50 tahun, manakala arang batu kira-kira 130 tahun pada kadar penggunaan semasa.

 

“Situasi tersebut memberi isyarat jelas bahawa dunia perlu mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber tidak boleh diperbaharui,” jelasnya.

 

Dalam masa sama, beliau menegaskan  ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat turut memberi kesan kepada kestabilan pasaran tenaga global, sekali gus mengukuhkan keperluan kepada sistem tenaga yang lebih selamat dan pelbagai sumber.

 

t

 

“Di peringkat domestik, Malaysia telah lama memulakan usaha peralihan tenaga apabila tenaga boleh diperbaharui diperkenalkan sebagai “fifth fuel” di bawah Dasar Tenaga Negara sejak awal 1990-an, bersama minyak, gas, arang batu dan hidro.

 

“Kini, portfolio tenaga boleh diperbaharui negara merangkumi solar, hidro kecil, biomas dan biogas, dengan tenaga solar muncul sebagai sumber yang berkembang paling pesat.

 

“Kerajaan juga komited melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga negara secara berperingkat,” katanya.

 

Setakat 2025, kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia telah melebihi 13.3 gigawatt (GW), dengan sumbangan utama datang daripada tenaga solar yang terus berkembang pesat.

 

Selain itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melancarkan Pelan Strategik PETRA 2026–2030 yang merangkumi 119 program dan 133 sasaran bagi mempercepat transformasi sektor tenaga dan air negara.

 

Beliau berkata kejayaan peralihan tenaga bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan pelabur bagi memastikan pelaksanaan dapat direalisasikan secara berkesan.

 

“Masa depan tenaga negara berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi digital, termasuk peningkatan penggunaan pusat data, kenderaan elektrik (EV) dan teknologi AI.

 

“Persidangan ini adalah platform penting untuk menghimpunkan pakar industri, pembuat dasar dan pelabur bagi memperkukuh agenda peralihan tenaga di Malaysia serta rantau ASEAN,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard