TNB, Malakoff dijangka raih manfaat tender loji jana kuasa gas pertama negara - CGS International

LocalBusiness & Finance
14 May 2025 • 5:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB, Malakoff dijangka raih manfaat tender loji jana kuasa gas pertama negara - CGS International

image is not available

14/05/2025 - 17:28

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mei - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Malakoff Corp Bhd dijangka menjadi antara penerima manfaat utama daripada tender baharu loji jana kuasa gas pertama Malaysia dalam tempoh sembilan tahun, susulan permintaan melonjak daripada pusat data.

Malaysia tidak melaksanakan tender loji jana kuasa termal sejak 2016, namun TNB sudah menandatangani perjanjian bekalan elektrik sebanyak 5.9 gigawatt (GW) dengan pengendali pusat data, dengan permintaan diunjurkan berkembang 5% setahun.

Tender terakhir diluluskan pada Ogos 2016 untuk loji gas 1.2GW di Pulau Indah, Klang yang mula beroperasi pada suku pertama 2025.

Suruhanjaya Tenaga baru-baru ini melancarkan permohonan cadangan (RFP) bagi kapasiti asas baharu meliputi jumlah minimum elektrik yang perlu dibekalkan secara berterusan.

Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori 1 bagi kemudahan sedia ada atau tambahan kapasiti serta Kategori 2 yang melibatkan projek jana kuasa baharu.

CGS International berkata, TNB dan Malakoff dianggap calon utama Kategori 1 memandangkan kedua-duanya mempunyai kapasiti loji gas sekitar 2GW dengan perjanjian pembelian tenaga yang akan tamat tempoh.

Menurutnya, Edra Power (1GW) juga antara pesaing dalam kategori berkenaan.

Katanya, bagi Kategori 2, syarikat berpotensi termasuk TNB, Malakoff, YTL Power International dan Edra berdasarkan rekod kukuh dan kedudukan kewangan.

"Petronas Gas juga mungkin antara yang berpotensi memandangkan ia merancang untuk mengembangkan perniagaan tenaga," kata CGS International dalam satu nota kajian.

Tambahnya, dengan kira-kira 9GW kapasiti sedia ada tamat menjelang 2030 dan projek baharu yang terhad, Malaysia boleh mengalami kekurangan bekalan 5GW.

Namun, CGS mengekalkan pandangan 'overweight' untuk sektor utiliti, menyifatkan RFP itu sebagai peluang pertumbuhan utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). - DagangNews.com

standard