Lotte Chemical Titan raih kontrak bekal gas etilena RM743 juta kepada syarikat Indonesia

LocalBusiness & Finance
9 May 2025 • 10:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lotte Chemical Titan raih kontrak bekal gas etilena RM743 juta kepada syarikat Indonesia

image is not available

09/05/2025 - 10:26

Gambar/Lotte Chemical Titan Holding Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Mei - Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) menandatangani satu kontrak pembekalan etilena selama 10 tahun dengan syarikat kimia Indonesia, PT Asahimas Chemical, yang dianggarkan bernilai lebih RM743.5 juta.

LCT berkata, perjanjian itu akan menyaksikan LCT membekalkan kira-kira 150,000 tan etilena setiap tahun kepada Asahimas Chemical bermula 1 Julai 2025 sehingga 30 Jun 2035.

Katanya, ia ditandatangani melalui anak syarikat milik penuh LCT di Indonesia, PT Lotte Chemical Indonesia (LCI).

"Harga etilena yang dibekalkan berdasarkan harga pasaran semasa. Nilai keseluruhan kontrak ini dijangka melebihi 10% daripada jumlah pendapatan tahunan LCT yang diumumkan baru-baru ini.

"Berdasarkan pendapatan syarikat sebanyak RM7.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, nilai kontrak ini dijangka melebihi RM743.5 juta," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Asahimas Chemical merupakan syarikat kimia bersepadu yang menghasilkan bahan kimia asas untuk pelbagai industri di Indonesia.

LCI kini sedang membangunkan loji petrokimia baharu yang dikenali sebagai Projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE), yang dijangka siap pada separuh kedua tahun 2025.

Loji berkenaan mampu menghasilkan sejuta tan etilena setahun.

Sebahagian etilena itu akan digunakan sendiri, manakala selebihnya akan dijual kepada syarikat lain.

Walaupun berjaya memperoleh kontrak besar, LCT baru-baru ini melaporkan kerugian suku tahunan yang kelapan berturut-turut.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, syarikat mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM125.67 juta, berbanding kerugian RM178.03 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan juga merosot 22.3% kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.92 bilion sebelum ini, disebabkan oleh pengurangan jumlah jualan dan harga jualan purata.

Namun, prestasi syarikat menunjukkan sedikit pemulihan berikutan margin produk yang lebih baik, susut nilai yang lebih rendah, serta sumbangan keuntungan daripada pegangan 40% dalam Lotte Chemical USA. - DagangNews.com

standard