TNB: Pengguna nikmati manfaat RM3.1 bilion rebat AFA, melebihi surcaj RM800 juta sejak dilaksanakan Julai 2025

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 6:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB: Pengguna nikmati manfaat RM3.1 bilion rebat AFA, melebihi surcaj RM800 juta sejak dilaksanakan Julai 2025 Image from: TNB: Pengguna nikmati manfaat RM3.1 bilion rebat AFA, melebihi surcaj RM800 juta sejak dilaksanakan Julai 2025 amree15/09/2026 - 18:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept — Pengguna elektrik sudah menerima manfaat rebat Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) sebanyak RM3.1 bilion sejak mekanisme itu diperkenalkan pada Julai 2025, jauh melebihi jumlah surcaj AFA sebanyak RM800 juta, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Menurutnya, AFA bukan caj tambahan baharu atau mekanisme yang menyalurkan keuntungan kepada syarikat, sebaliknya mekanisme dua hala bagi melaraskan perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.

 

Mekanisme itu menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) susulan penstrukturan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Julai 2025, dengan pengguna menerima rebat apabila kos bahan api global menurun dan dikenakan surcaj apabila kos meningkat.

 

TNB berkata, surcaj hanya mula dikenakan pada Mei 2026 selepas kos penjanaan meningkat susulan krisis di Asia Barat, selepas pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026.

 

"Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWj) atau kurang sebulan, mereka dilindungi sepenuhnya daripada caj AFA sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj," katanya dalam kenyataan.

 

Kumpulan pengguna itu turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan 8% dan Caj Peruncitan, selain membayar kira-kira 2% hingga 14% lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

 

TNB_DagangNews2026

 

Bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen/kWj dengan kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan di portal myTNB selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

TNB menjelaskan AFA bukan punca tunggal peningkatan mendadak bil elektrik kerana pola penggunaan turut dipengaruhi faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah yang meningkatkan penggunaan peralatan elektrik.

 

Dalam pada itu, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan kesan surcaj AFA terhadap pengguna.

 

TNB menggalakkan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga, mempertimbangkan pelan Time of Use (TOU) serta memasang solar bumbung di bawah inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home bagi membantu mengawal bil bulanan.

 

TNB menegaskan mekanisme AFA memastikan kos elektrik dikongsi secara lebih telus dan adil apabila pengguna menikmati manfaat apabila kos bahan api menurun, manakala pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600kWj sebulan kekal dilindungi daripada turun naik AFA. - DagangNews.com

Pilihan Editor Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved