TNB, Petronas bekerjasama teroka penangkapan dan penyimpanan karbon bagi penjanaan loji janakuasa gas
zulfadli
06/11/2023 - 10:02
KUALA LUMPUR 6 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) bagi loji janakuasa gas.
Kerjasama itu menandakan komitmen kedua-dua pihak terhadap Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Justeru, MoU menterjemah aspirasi tersebut menjadi inisiatif dan tindakan, sejajar NETR yang mengenal pasti Penangkapan Karbon, Penggunaan, dan Penyimpanan (CCUS) sebagai Tuas Peralihan Tenaga ke-6 dengan langkah jelas ke arah karbon sifar bersih.
Pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din dan Presiden/Ketua Pegawai Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran TNB, baru-baru ini.
Baharin menekankan bahawa MoU ini mengukuhkan komitmen TNB dan Petronas terhadap NETR. CCS merupakan satu daripada tuas peralihan tenaga utama yang digariskan dalam NETR, dan MoU ini akan membolehkan TNB serta Petronas menggabungkan kepakaran mereka dalam menyelaraskan usaha di bidang teknologi CCS bagi loji penjanaan gas.
Beliau berkata, TNB komited sepenuhnya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dan sedang giat menjalankan pelbagai inisiatif dalam memacu penyahkarbonan di Malaysia.

"Antara usaha ini termasuk penangkapan dan penyimpanan karbon ketika penjanaan tenaga di loji janakuasa gas. MoU ini sejajar dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB yang menyatakan komitmen teguh terhadap kelestarian alam sekitar melalui penerokaan teknologi CCS dan selaras dengan NETR Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa peralihan tenaga adalah satu cabaran sistemik yang memerlukan kerjasama dengan sektor-sektor lain untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih.
Katanya, MoU itu adalah bukti keyakinan bersama Petronas dan TNB bagi mewujudkan laluan dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan tenaga yang selamat serta menyokong aspirasi rendah karbon yang dinyatakan dalam NETR.
"Dengan gabungan pengalaman dan keupayaan teknikal sebagai pemilik infrastruktur tenaga, Petronas menaruh harapan tinggi untuk mempercepat pembangunan dan pelaksanaan teknologi CCS sebagai sebahagian daripada sistem penyahkarbonan tenaga.
"Bersama kita boleh memanfaatkan potensi teknologi yang ada secara sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan segera. Petronas kekal dengan tekad untuk mencari rumusan yang akan menggerakkan perkembangan ke arah masa depan lebih lestari, selaras dengan sasaran sifar bersih menjelang 2050," katanya.
Dalam pada Malaysia beralih ke arah ekonomi rendah karbon, gas asli memainkan peranan penting bagi landskap tenaga negara dengan menawarkan sumber asas tenaga yang mampu dan boleh dipercayai.
Oleh itu, loji penjanaan gas akan membolehkan integrasi lebih baik bagi sumber tenaga boleh baharu yang mana kerjasama di antara TNB dan Petronas dalam pelaksanaan teknologi CCS akan membantu menyumbang kepada usaha penyahkarbonan negara. - DagangNews.com



