
KUALA LUMPUR 12 Dis – Komitmen berterusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam memperkukuh kehadiran jenamanya di pasaran yang sentiasa berubah telah diiktiraf apabila syarikat itu menerima Anugerah Jenama Terbaik Tahunan 2025–2026 dari Forum Penjenamaan Dunia (WBF) yang diadakan di Osaka, Jepun baru-baru ini.
Pengiktirafan global tertinggi ini diberikan kepada TNB sebagai tanda pencapaian kecemerlangan dalam kepimpinan jenama dalam sektor tenaga Malaysia.
Syarikat utiliti elektrik terkemuka negara ini merupakan satu-satunya jenama di Malaysia yang menerima pengiktirafan di bawah kategori Tenaga-Kuasa (Energy-Power).
TNB sebelum ini turut memenangi anugerah serupa pada tahun 2014, 2018, 2019 dan 2021.
Anugerah Penjenamaan Dunia itu dianjurkan oleh WBF, sebuah organisasi bukan keuntungan bertaraf global yang berpangkalan di London, yang berdedikasi untuk meningkatkan standard bagi manfaat komuniti jenama dan pengguna.
Anugerah ini mengiktiraf dan meraikan jenama terbaik di peringkat global, serantau dan kebangsaan berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka.
Tahun ini, sebanyak 1,092 jenama dicalonkan sebagai pilihan pengguna dan kurang daripada 100 jenama menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Brand of the Year.
Pemenang dinilai melalui tiga aspek utama iaitu penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan pengundian awam.
Edisi tahun ini menyaksikan lebih 91,000 pengguna daripada 66 negara mengundi jenama yang mereka percayai dan sukai.
Pengiktirafan terbaru kepada TNB menunjukkan dedikasi kuat syarikat dalam memberi nilai dan perkhidmatan terbaik kepada negara.
Anugerah ini menekankan usaha dan komitmen lebih daripada 35,000 kakitangan TNB di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan cemerlang dan menyediakan penyelesaian tenaga kepada lebih 11 juta pelanggan di Malaysia.
Ia juga membolehkan TNB kekal relevan, membina kepercayaan, dan membentuk standard industri.
TNB mengucapkan penghargaan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka sewaktu syarikat memperkukuh usaha pengalaman pelanggan dan terus maju ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan, boleh dipercayai dan berfokus kepada pelanggan.
Sementara itu, Pengerusi Global WBF, Richard Rowles berkata, penganugerahan itu menunjukkan pencapaian jenama dalam mendapatkan kepercayaan orang ramai, terutama apabila 70 peratus undian dipacu oleh pengguna.
Rowles menegaskan, apabila pengguna mengundi untuk jenama, ia bukan sekadar pengiktirafan; ia adalah satu pengesahan tahap kualitinya.
Pengundian awam merupakan bentuk tertinggi pengiktirafan jenama: ia menjadikan persepsi sebagai bukti, pemasaran sebagai makna dan kehadiran sebagai kepercayaan.
Anugerah tersebut bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi juga menyerlahkan usaha tanpa henti, visi dan emosi di sebalik pencapaian jenama yang menjadi pilihan ramai.-- BERNAMA


