
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular melibatkan sebuah keluarga di Kuala Sat, Jerantut, Pahang yang dilaporkan tiada bekalan elektrik hampir 13 tahun.
Dalam kenyataan itu, TNB berkata pihaknya mengambil maklum berhubung isu viral mengenai permintaan untuk penyambungan elektrik di kawasan berkenaan.
“Kami memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas yang penting kepada kehidupan harian sesebuah keluarga.
“Untuk makluman, permohonan berkaitan telah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025. TNB telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
“Ingin dimaklumkan bahawa pelaksanaan kerja di lokasi adalah juga tertakluk kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan, termasuk dari aspek keselamatan, teknikal, serta pematuhan status tanah dan izin lalu.”
Menurut TNB, susulan perkembangan terkini, pihaknya telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei 2026.
“Kerja-kerja telah bermula hari ini, 20 Mei 2026 dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei 2026.
“TNB akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan serta meneliti perkara ini bagi memastikan kes seumpama ini dapat diuruskan dengan lebih teratur dan inklusif bersama pihak berwajib yang berkenaan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu. – The Malaysian Update
The post TNB Tampil Jelaskan Isu Keluarga Tiada Bekalan Elektrik Hampir 13 Tahun appeared first on The Malaysian Update.






