
KUALA LUMPUR. Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Negeri Perlis menerusi pelaksanaan pelbagai program yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, selain mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja TNB dengan masyarakat setempat.
Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Shamsul Ahmad kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam Majlis Santapan Malam TNB di Ibu Pejabat TNB, di sini semalam.
Shamsul berkata, TNB telah salurkan sumbangan kira-kira RM1 juta di Perlis menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan wakalah zakat bagi tempoh 2025 hingga September 2026 dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sumbangan tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk kebajikan masyarakat, pendidikan, pembangunan sukan, keagamaan serta kemudahan infrastruktur bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pemasangan panel solar di bumbung masjid di Padang Katong, pembangunan sukan hoki menerusi Program TNB Thunderbolts di SMK Syed Hassan, selain bantuan perumahan melalui Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat.
TNB turut melaksanakan program pembaikan rumah keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), bantuan kembali ke sekolah, Program Ihya Ramadan, sokongan pengimarahan masjid dan surau serta bantuan pendawaian elektrik kepada golongan yang memerlukan.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat seperti congkak, batu seremban dan dam haji.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyertai beberapa aktiviti berkenaan serta beramah mesra dengan para tetamu yang terdiri daripada kepimpinan TNB serta Kumpulan Kayuhan TTG KL yang sama-sama memeriahkan suasana majlis.
Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid An-Nur TNB, yang juga dikenali sebagai Masjid Putih TNB. – UTUSAN
The post TNB teruskan program CSR dengan Kerajaan Perlis appeared first on Utusan Malaysia.





