TNB umum visi masa depan tenaga lestari dan kerjasama pada CEPSI 2023

Business & Finance
6 Dec 2023 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB umum visi masa depan tenaga lestari dan kerjasama pada CEPSI 2023

zulfadli

06/12/2023 - 11:55

KUALA LUMPUR 6 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengukuhkan janjinya untuk meneraju peralihan tenaga di Malaysia dengan giat meneroka projek-projek transformasi tenaga boleh baharu (TBB).

Komitmen ini dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din, ketika menyampaian ucaptama pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) ke-24 di China, baru-baru ini.

Baharin mengariskan betapa pentingnya kerjasama antara ASEAN dan China dalam usaha berterusan bagi mencapai aspirasi Sifar Bersih. Kedua-duanya bukan sekadar mendakap aspirasi sifar bersih, tetapi mengemudi pacuan peralihan tenaga global, mengorak langkah masa depan rendah karbon serta mempercepat pertumbuhan ketara ekonomi.

TNB berbangga berada di barisan hadapan dalam mendepani peralihan tenaga ASEAN, menjalin hubungan kukuh dengan rakan sejawat China untuk memanfaatkan teknologi hijau terkini termasuk kepakaran dan keupayaan membangunkan teknologi tersebut.

Grid Tenaga ASEAN (APG) membuka peluang yang menjanjikan kemakmuran ekonomi Asia Tenggara dan China sekali gus mendekatkan lagi dengan aspirasi kolektif Sifar Bersih.

Ketika ini, TNB sedang memuktamadkan perkongsian serta menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan Zon Tenaga Boleh Baharu (RE) untuk Solar Berskala Besar (LSS) dan Hibrid Solar Fotovoltaik (PV) Terapung dengan kapasiti kukuh berjumlah 2,500 MW.

Selain itu, TNB turut meneroka projek pembakaran bersama (co-firing) yang melibatkan hidrogen dan ammonia, menunjukkan komitmen yang jelas terhadap inovasi dan kelestarian.

Baharin berkata, pihaknya sedang mempercepatkan inisiatif-inisiatif penting itu di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga (ETP) mereka, merangkumi keseluruhan rantaian pembekalan elektrik.

"Inisiatif ini merupakan langkah utama dalam perjalanan kami memenuhi komitmen dan aspirasi kelestarian sekali gus mengukuhkan landasan pertumbuhan perniagaan mampan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Malah, TNB sedang giat meneguhkan pelan perniagaan dalam tempoh dua tahun ini bagi pengeluaran hidrogen mencakupi penggunaan domestik dan eksport.

Hidrogen hijau memainkan peranan utama dalam inisiatif co-firing TNB di bawah seliaan TNB Genco. Loji-loji janakuasa gas masa depan dilengkapi dengan teknologi hidrogen dijadualkan untuk beroperasi mulai 2030, menerajui pembekalan tenaga elektrik dengan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah.

Sidang dwitahunan CEPSI 2023 memainkan peranan penting sebagai perhimpunan utama Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Edisi tahun ini menarik penyertaan lebih 2,500 wakil dari negara-negara ahli, menandakan peranan pentingnya sebagai medium utama bagi kerjasama industri dan pertukaran pengetahuan.

Baharin menegaskan komitmen TNB dalam menyokong Malaysia sebagai pusat data serantau dengan memperkenalkan Laluan Hijau – pemboleh ubah diwujudkan khusus bagi memastikan pembekalan elektrik adalah selaras keperluan jangka masa pembangunan pusat data.

Laluan Hijau adalah inisiatif eksklusif yang direka untuk memenuhi keperluan pasaran pusat data dengan mempercepatkan solusi bekalan elektrik melalui pengurangan masa pelaksanaan dari 36-48 bulan kepada hanya 12 bulan.

TNB turut menyediakan Pusat Sehenti (OSC) untuk pelabur pusat data dan menjangkakan potensi permintaannya meningkat melebihi 4,300 MW menjelang 2035.

Merujuk kembali kerjasama ASEAN-China, Baharin mengetengahkan komitmen TNB untuk memperkasa APG dan menyatakan pengharapan terhadap sokongan China dalam projek-projek TBB dengan meramalkan pertumbuhan lebih pesat, penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi di seluruh rantau.

"Tidak dapat disangkal bahawa ASEAN dan China adalah penggerak utama dalam sektor tenaga di arena global. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga.

"Potensi besar untuk pertumbuhan dan kerjasama di antara kedua-dua rantau ini merupakan kunci mencapai objektif bersama dalam kemaraan menuju rendah karbon dan kelestarian masa depan.

"Sesungguhnya, perjalanan TNB adalah satu bentuk inovasi, perkongsian dan komitmen kukuh kepada masa depan yang lebih hijau dan lestari," ujar Baharin. - DagangNews.com