ChemOne raih pembiayaan AS$300 juta bagi projek Kompleks Tenaga Pengerang daripada MUFG
diyana
05/12/2023 - 12:21
KUALA LUMPUR 5 Dis - Konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura, ChemOne Group, yang juga pemaju induk Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) di Johor, telah memeterai perjanjian kemudahan muktamad terikat dengan MUFG Bank (Malaysia) Berhad.
MUFG bank merupakan sebahagian daripada kumpulan perkhidmatan kewangan global terkemuka, Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG).
ChemOne dalam satu kenyataan media hari ini berkata bahagian utama pakej pembiayaan projek PEC itu ialah kemudahan pembelian penghutang tanpa rekursa sebanyak AS$300 juta (AS$1= RM4.66) untuk diskaun invois bagi jualan produk siap kepada pembeli.
Tambahnya, perjanjian tersebut mengesahkan penyertaan mereka untuk AS$200 juta di bawah kemudahan ini, di samping terdapat pilihan akordion bernilai AS$100 juta disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex Sdn Bhd, Alwyn Bowden berkata syarikat itu berbesar hati untuk disediakan pengaturan perbankan yang mantap untuk membolehkan peningkatan ketara dalam kitaran modal kerja dan pengurusan aliran tunai melalui kemudahan tersebut.

“Kerjasama dengan MUFG ini merupakan langkah penting ketika kami bergerak pantas ke arah penutupan kewangan projek, membawa potensi pembiayaan PEC kepada kepakaran salah satu institusi perbankan terbesar di Jepun dan di seluruh dunia,” ujar beliau. - DagangNews.com

