
Perhatian kepada pengguna TNG eWallet yang kerap menggunakan ciri Auto Reload dan Quick Payment menggunakan kad debit. Sokongan kad debit untuk kedua-dua ciri ini akan dihentikan bermula 13 Mei depan. Selepas ini sistem bayaran alternatif seperti kad kredit perlu digunakan untuk tujuan yang sama.

Sebelum ini fungsi t ini diletakkan dalam mode penyelenggaraan untuk menilai prestasi transaksi. Selepas semakan dilakukan, TNG Digital memutuskan untuk menamatkan sokongan kad debit bagi memastikan pengalaman pembayaran lebih stabil dan boleh dipercayai.
Penggunaan kad debit masih lagi boleh dilakukan sekiranya nilai kredit TNG eWallet ditambah secara manual. Penggunaan kad kredit juga boleh dilakukan tetapi akan dikenakan caj tambahan 1%. Keputusan yang diambil TNG Digital ini mengecewakan kerana ia menyukarkan pelanggan yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.
Saya menggunakan Auto Reload kerana memudahkan proses pembayaran tol yang dilakukan setiap hari. Tanpa sokongan kad debit, saya perlu memeriksa baki setiap pagi terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan.





