TNG eWallet kini bukan lagi sekadar aplikasi pembayaran tetapi berkembang menjadi platform gaya hidup digital yang lebih menyeluruh. Ia merangkumi aspek kewangan, gaya hidup, perjalanan dan pelbagai servis harian dengan matlamat untuk menjadi teman digital utama rakyat Malaysia. Inilah inti pati yang dikongsikan oleh TNG dalam sesi bersama media hari ini.

Selari dengan visi tersebut, TNG telah menambah baik aplikasi mereka dengan beberapa fungsi praktikal. Perubahan paling ketara dapat dilihat pada antara muka pengguna (UI) yang kini bukan sahaja menampilkan warna baharu malah turut menyusun semula fungsi utama agar lebih teratur. Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah bar di bahagian atas yang kini dilengkapi dengan akses pantas kepada GoFinance, Near Me, Bills dan Transport.
Sementara itu, bar di bahagian bawah turut diubah dan kini terdiri daripada Home, Transfer, Activity dan Profile, menjadikan navigasi harian lebih mesra pengguna. Selain itu, logo TNG eWallet turut diperbaharui dengan rekaan gradien biru dan ungu, disertai perubahan pada warna tulisan. Sentuhan baharu ini memberikan identiti yang lebih moden selari dengan perubahan aplikasi kepada ekosistem gaya hidup digital yang menyeluruh.

Dalam pada itu, mereka turut menekankan fungsi dan ciri baharu. Antaranya ialah Universal QR Scanner yang telah dinaik taraf di mana ia tidak lagi terhad kepada pembayaran semata-mata tetapi boleh digunakan untuk mengimbas menu, borang, pautan dan tiket acara terus dalam aplikasi. Walaupun ciri ini bukan sepenuhnya baharu, menurut TNG ramai pengguna sebelum ini mungkin tidak menyedari kelebihannya.
Dengan adanya fungsi ini, pengguna hanya memerlukan satu aplikasi untuk pelbagai tujuan seperti membayar makanan di kedai, menaiki pengangkutan awam, mendapatkan maklumat produk atau promosi malah membuat pembayaran di luar negara. Semua transaksi dan imbasan ini turut dilindungi dengan sistem keselamatan yang disulitkan, sekali gus menjadikan pengalaman lebih mudah.

Selain itu, TNG memperkenalkan Search Bar baharu yang memudahkan pencarian servis, promosi atau fungsi dalam aplikasi dengan lebih cepat. Menurut TNG, idea di sebalik ciri ini adalah untuk membantu pengguna mencari dengan lebih senang sambil membiasakan mereka dengan ekosistem aplikasi di samping membolehkan syarikat memahami keperluan serta kehendak pengguna dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, TNG turut memperkenalkan Navigation Bar baharu yang direka khas untuk penggunaan satu tangan. Ia menempatkan fungsi utama seperti transfer, scan & pay, history dan profile sekali gus menjadikan akses harian lebih ringkas.

TNG juga memberi penekanan kepada GoFinance, iaitu paparan menyeluruh yang menghimpunkan simpanan, pelaburan, insurans dan pinjaman. Dengan adanya fungsi ini, aplikasi bukan sahaja berperanan sebagai eWallet, tetapi juga sebagai pusat kawalan kewangan peribadi yang membolehkan pengguna mengurus pelbagai aspek kewangan dalam satu platform yang teratur.

Untuk keperluan pengangkutan, TNG memperkenalkan Transport Page yang menggabungkan pelbagai fungsi dalam satu tempat. Ia merangkumi penggunaan kad TNG, sistem RFID, urusan cukai jalan, servis kereta serta kerjasama dengan Petronas melalui inisiatif Budi 95. Dengan adanya halaman ini, pengguna boleh mengurus semua keperluan pengangkutan harian dengan lebih mudah tanpa perlu menggunakan banyak aplikasi berbeza.

Bagi gaya hidup, fungsi Lifestyle & Near Me kini menawarkan cadangan promosi berhampiran pengguna. Setiap cadangan disesuaikan mengikut lokasi semasa untuk pengalaman lebih relevan. Sementara itu, Travel Journey menyatukan keseluruhan pengalaman perjalanan dalam satu ekosistem. Ia merangkumi perancangan perjalanan, tempahan hotel dan tiket, tukaran mata wang serta pembayaran luar negara. Dengan fungsi ini, pengguna boleh mengurus semua aspek perjalanan mereka dengan lebih teratur.

Dalam sesi yang sama, TNG turut berkongsi visi masa depan mereka dengan menekankan bahawa aplikasi akan menjadi lebih aktif dan mesra pengguna. Maksudnya, aplikasi mereka tidak lagi sekadar menunggu arahan tetapi akan bertindak lebih proaktif dengan mengingatkan pengguna untuk membayar bil, mencadangkan tawaran terbaik berdasarkan corak penggunaan serta menawarkan nasihat kewangan yang sesuai dengan keadaan semasa. Fokus utama bukanlah menambah terlalu banyak fungsi baharu sebaliknya memastikan setiap urusan harian dapat dilakukan dengan lebih ringkas.

Dari segi hubungan dengan industri kewangan, TNG menjelaskan bahawa mereka tidak bercadang untuk menjadi bank digital sendiri buat masa ini. Sebaliknya, mereka memilih untuk bekerjasama dengan institusi kewangan melalui konsep Open Finance selari dengan hala tuju Bank Negara Malaysia yang menyokong keterbukaan data kewangan.
Pendekatan ini bertujuan memudahkan pengguna kerana semua akaun dan maklumat kewangan dapat dilihat serta diurus dalam satu aplikasi sahaja. Dengan cara ini, TNG berhasrat menjadikan dompet digital sebagai pusat kawalan kewangan yang lengkap dan lebih mudah untuk kehidupan seharian.

TNG turut berkongsi bahawa Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat nirtunai. Mereka menjelaskan bahawa TNGD kini memproses lebih banyak transaksi berbanding gabungan industri kad kredit dan debit. Sehingga kini, sebanyak 26 juta pengguna telah selesai proses eKYC dengan 23 juta daripadanya warga Malaysia manakala selebihnya terdiri daripada pelancong. Separuh daripada jumlah ini merupakan pengguna aktif harian dengan purata 60 transaksi sebulan iaitu kira-kira dua kali sehari.
Keseluruhan pencapaian ini menunjukkan bahawa TNG bukan sahaja berkembang sebagai aplikasi pembayaran, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mempercepatkan transformasi digital Malaysia.

