Tok Det Puas Hati Perjalanan Mengundi, Selesai Tunai Tanggungjawab Pagi Tadi 

Politics
12 Aug 2023 • 12:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mahdzir Khalid (kiri) sempat menegur seorang pengundi di SK Naka

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menzahirkan rasa puas hati dengan perjalanan proses pengundian dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), khususnya di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka. 

Ketika ditemui media, Pengerusi BN Kedah itu berkata, tiada insiden tidak diingini dilaporkan setakat ini. 

“Alhamdulillah, setakat ini tiada insiden tidak diingini berlaku termasuk semasa tempoh berkempen. Dengan cuaca yang baik, kalangan pengundi diharap dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal. 

"Saya berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian hari ini. Saluran mengundi untuk warga emas juga berada di tingkat bawah, sekali gus memudahkan mereka mengundi dan itu merupakan usaha yang baik dari SPR,” katanya. 

Mesra dikenali sebagai Tok Det dalam kalangan masyarakat setempat, Mahdzir selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka sekitar jam 9.50 pagi tadi. 

image is not available
Mahdzir Khalid dan isteri selesai mengundi si SK Naka pada jam 9.50 pagi

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu tiba di lokasi pada jam 9.25 pagi sambil diiringi isterinya, Datin Seri Noraini Abdullah, yang turut mengenakan pakaian sedondon berwarna biru dan sulaman merah.  

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Tok Det berdepan tentangan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Radzi Md Amin selaku penyandang kerusi. 

Mohd Radzi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 670 undi, manakala calon PAS, Munir @ Mohd Yusuff Zakaria menguasai DUN Kuala Nerang selepas menewaskan calon PKR dan Barisan Nasional (BN) untuk meraih majoriti 1,619 undi. 

DUN Pedu memiliki 28,586 pemilih layak melibatkan 51 saluran, manakala DUN Kuala Nerang dibarisi oleh 31,287 pemilih yang bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing di 60 saluran. - Getaran, 12 Ogos 2023